Kaum Rohingya Jadi Korban Di Ambang Aidiladha


MALAYSIA mesti bersegera bertindak tegas menyelamatkan kaum Rohingya Myanmar yang sedang dibunuh beramai-ramai. Setelah melihat sikap Kerajaan Myanmar yang angkuh dan kejam tidak mendengar  bantahan suara negara antarabangsa, sudah sampai masanya Kerajaan Malaysia memanggil Sidang Khas Parlimen bahas isu pembunuhan kaum Rohingya.

Apabila kami yang bersama NGO tempatan yang di ketuai oleh MAPIM hadir di Kedutaan Myanmar Kuala Lumpur pada 30 Ogos untuk menyampaikan Memorandum tentang Rohingya, sikap tidak menghormati rombongan kami dengan menghantar kakitangan bawahan menerima memo tersebut amat mendukacitakan.

Sebagai Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah, saya telah membawa satu usul khas di Parlimen tahun lepas untuk membahaskan pembunuhan dan kekejaman ke atas kaum Rohingya di Myanmar.

Malangnya usul tersebut telah ditolak oleh Kerajaan dengan hanya ahli Parlimen Pakatan Harapan menyokong usul tersebut. Kerajaan Malaysia mesti merasa  bertanggungjawab atas apa yang berlaku hari ini kerana Malaysia telah menyokong kuat kemasukan Myanmar ke dalam Asean. Malaysia juga berusaha  keras untuk pembebasan Aung San Suu Kyi dari penahanan pihak tentera Myanmar sehingga beliau menjadi Perdana Menteri Myanmar hari ini.

Kegagalan Kerajaan membahaskan dan membuat pendirian rasmi yang tegas di Parlimen tahun lepas telah melihat pembunuhan yang lebih ganas dan meluas oleh pihak tentera Myanmar hari ini. Menjelang Hari Raya Korban , begitu ramai umat Islam Rohingya yang kecil, tua dan wanita di korbankan oleh  Junta tentera Myanmar secara terancang.

Apakah kita negara majoriti rakyat Islam masih berdiam diri sementara Pope Perancis dari Vatican telah mengumumkan beliau akan ke Myanmar dalam waktu terdekat kerana krisis kemanusiaan yang makin meruncing?  

Tidak malu kah Kerajaan kita yang masih berpeluk tubuh tidak bersedia pun untuk membahas isu ini di Parlimen? Di manakah keprihatinan kita sebagai seorang Islam melihat saudara seagama  kita di korbankan dengan begitu kejam?

Semasa Pope Francis dari Vactican merancang untuk ke Myanmar kerana isu umat Islam Rohingya, Dato Najib sibuk dengan persiapan hendak ke Amerika berjumpa dengan Presiden Trump seorang yang terkenal dengan sikap perkauman dan anti Islam nya.

Di manakah Datuk Najib Tun Razakmeletak prioriti kemanusiaan Islam nya berbanding dengan politiknya? Polisi kononnya tidak campur tangan ehwal negara Asean tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada Malaysia apabila beribu umat Islam tidak berdosa di bunuh begitu kejam di negara jiran.

Isu penglibatan Malaysia bersama tentera sekutu Saudi ia itu Amerika, Britain dan Perancis menyerang negara miskin Yaman di rakamkan dalam laporan  Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu- PBB, pada Januari 2017.

Soalan saya di Parlimen pada tahun lepas tidak di jawab dengan penuh tentang dakwaan PBB yang Malaysia terlibat dalam jenayah perang pembunuhan bersama Amerika beribu-ribu rakyat Islam Yaman.

Kenapa campur tangan di negara yang jauh tetapi tidak bersungguh menyelamatkan nyawa umat Islam di Negara jiran?

Sekali lagi saya menuntut sidang Khas Parlimen untuk bahas Usul isu pembunuhan Rohingya yang telah di tolak Kerajaan tahun lepas. Berapa ramai lagi rakyat Rohingya mesti menjadi korban kekejaman junta Myanmar sebelum Kerajaan mahu mengambil sikap serius isu ini.

Semasa kita membahagi bahagikan daging korban pada Hari Raya Aidiladha Jumaat ini, ingatlah sedikit berapa ramai rakyat Islam Rohingya kelaparan menjadi pelarian dan terus menjadi korban pembunuhan kejam Junta Tentera Myanmar.      

RAJA BAHRIN SHAH

Pengerusi

Biro Antarabangsa

Parti Amanah Negara

31 Ogos 2017

Sumber: Sinar Harian