ALOR SETAR - Skuad Helang Merah berhasrat untuk menghadiahkan kemenangan dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Selangor, Jumaat ini kepada Almarhum Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.
Tonggak tengah Kedah, Baddrol Bakhtiar membakar semangat rakan sepasukannya dan mengingatkan agar kekal fokus dan berjuang hingga ke hujung wisel penamat.
Pemain Harimau Malaya itu turut menzahirkan rasa sedih dan terkejut dengan kemangkatan baginda yang sering menjadi peminat nombor satu bolasepak Kedah.
"Kemangkatan Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah pada masa kami sedang bersiap-siap untuk mempertahankan Piala Malaysia dimenangi musim lalu sangat menyedihkan.
"Almarhum Tuanku akan sentiasa berada di mana-mana perlawanan dan sentiasa memberi sokongan padu kepada pemain.
"Malah, baginda juga sering memberi kata-kata semangat dan motivasi kepada kami tidak kira menang atau tewas. Untuk aksi suku akhir nanti, kami mahu cari kemenangan buat Almarhum Tuanku," katanya.
Selain itu, Baddrol turut mengimbau kembali sentuhan Almarhum dalam membantu membangkitkan arena sukan bolasepak Kedah.
"Almarhum Tuanku sering membantu secara menyeluruh, terutama dalam memberi nasihat serta teguran yang membina terhadap pasukan, termasuklah saya," katanya. - Kedahnews.com