Kedah Rehatkan Tujuh Pemain - Mohd Nidzam


KETUA Jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusof akan merehatkan tujuh pemain yang mewakili pasukan Harimau Malaya pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman malam ini.

Menurutnya, tujuh pemain tersebut memerlukan rehat setelah berhempas pulas membantu skuad kebangsaan sebelum ini.

"Tetapi pemain lain termasuk empat yang mewakili skuad Sukan SEA akan beraksi pada perlawanan ini kecuali Muhd Akhyar Rashid yang kini bersama pasukan Bawah 19 Tahun di Myanmar.

"Baddrol Bakhtiar, Akram Mahinan, Fitri Omar, Khairul Helmi Johari, Syazwan Zainon, Rizal Ghazali dan Mohd Farhan Abu Bakar tidak akan dibariskan pada perlawanan ini kerana saya mahu mereka berehat sebelum kita berdepan cabaran tiga perlawanan Liga Super bermula 16 September ini.

"Syafiq Ahmad, Amirul Hisyam Awang Kecik, Mohamad Arif Farhan Md Isa dan Mohd Ifwat Akmal Che Kassim pasti akan mendapat peluang untuk membuktikan kemampuan dan peranan sebenar mereka ketika menentang Kelantan.

“Kami tidak mahu keputusan seri, tetapi pemain perlu meneruskan rentak kemenangan. Berdasarkan perlawanan ini juga kami akan sediakan barisan pemain terbaik untuk meneruskan perjuangan dalam Liga Malaysia," katanya kepada mStar Online.

Mohd Nidzam menambah, pemain diingatkan untuk tidak memperkecilkan kemampuan lawan kerana mereka mampu mencipta kejutan setelah berehat panjang.

"Kejayaan kita di Kota Bharu sebelum ini tidak boleh dijadikan ukuran kerana mereka pasti ingin membuktikan sesuatu selepas melakukan persediaan dalam tempoh rehat.

"Bagaimanapun saya yakin, barisan pemain yang diturunkan nanti akan beraksi sebaik mungkin seperti yang dirancang untuk meraih kemenangan di tempat sendiri.

"Kehadiran penyokong nanti akan menambahkan lagi semangat pemain untuk berjuang sebaik mungkin, kerana mereka adalah sebahagian daripada kekuatan Kedah selama ini," jelasnya.

Sumber: Mstar Online