Kedah Umum Cuti Kelepasan Am Selasa, UPSR Berjalan Seperti Biasa


ALOR SETAR - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mengisytiharkan cuti kelepasan am esok (Selasa) sebagai penghormatan di atas kemangkatan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Bagaimanapun Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dijadualkan esok Selasa berjalan seperti biasa. Seramai 32,481 murid tahun enam menduduki UPSR di seluruh Kedah yang bermula hari ini.

Beliau memberitahu tempoh berkabung adalah selama tujuh hari bermula Isnin hingga 17 September ini dan bendera negeri serta persekutuan hendaklah dikibar separuh tiang selama tiga bermula hari ini hingga Rabu ini.

Dalam tempoh perkabungan itu, semua bentuk keramaian, hiburan dan perayaan dibatalkan, kata Ahmad Bashah pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat persiapan istiadat pemakaman diraja bersama Exco dan ketua-ketua jabatan kerajaan di Wisma Darulaman, di sini petang ini.

Tuanku Abdul Halim, 90, yang memerintah Kedah selama 59 tahun dan dua kali dilantik Yang di-Pertuan Agong mangkat di Istana Anak Bukit di sini pada pukul 2.30 petang tadi. - Kedahnews.com