KEKEJAMAN kerajaan pimpinan Aun San Suu Kyi terhadap etnik Rohingya bukan lagi sesuatu yang asing.
Etnik yang beragama Islam itu ketika ini sedang diseksa, dirogol hatta dibunuh oleh junta tentera negara itu tanpa rasa bersalah.
Tindakan zalim kerajaan itu menyebabkan umat Islam Rohingya terpaksa lari menyelamatkan diri ke perairan negara berdekatan termasuk Bangladesh, Indonesia, India dan Malaysia sendiri.
Beberapa pemimpin dan aktivis dunia kini tidak lagi berdiam diri, memerhatikan segala perilaku kerajaan Suu Kyi terhadap etnik Rohingya.
Antara yang bersuara terhadap kekejaman yang berlaku terhadap etnik tersebut adalah Penerima Hadiah Nobel Keamanan dari Pakistan, Malala Yousafzai.
Malala menyertai jutaan komuniti Muslim dari seluruh Asia yang menyuarakan rasa marah dan mengecam Suu Kyi berkaitan penindasan terhadap minoriti Rohingya.
Beliau dalam masa sama turut menggesa agar keganasan di Rakhine dihentikan segera.
"Setiap kali saya melihat berita itu, hati saya remuk kerana penderitaan yang ditanggung Muslim Rohingya di Myanmar.
“Sudah beberapa kali dalam tempoh bertahun-tahun sebelum ini saya mengutuk layanan yang memalukan dan tragis ini. Saya masih menunggu Aung San Suu Kyi melakukan hal yang sama.
“Hari ini kita melihat gambar-gambar anak-anak kecil dibunuh oleh pasukan keselamatan Myanmar. Kanak-kanak ini tidak menyerang sesiapa, tapi masih rumah mereka dibakar hangus! Jika Myanmar bukan rumah mereka, iaitu tempat yang mereka jalani hidup sekian lama, maka dimanakah rumah mereka?” soalnya dalam kenyataannya menerusi Twitter.
Beliau juga turut masyarakat Islam antarabangsa memberikan bantuan makanan, perlindungan dan pendidikan kepada keluarga pelarian.
Selain Malala, antara pemimpin yang lantang bersuara menentang Suu Kyi termasuk Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.
Erdogan dalam kenyataannya baru-baru ini menuduh Suu Kyi melakukan pembunuhan beramai-ramai ke atas etnik tersebut.
Beliau juga menegaskan akan mengadakan pertemuan dengan ahli politik Turki, Mevlut Cavusoglu untuk membincangkan tindakan penghapusan yang dilakukan oleh Canselor Myanmar itu.
Erdogan juga mengesahkan akan bertemu dengan Suu Kyi bagi membincangkan langkah sesuai untuk menangani krisis ke atas Rohingya.
"Telah berlaku siri pembunuhan beramai-ramai di sana. Sesiapa sahaja yang berpeluk tubuh dan memejamkan mata terhadap isu ini adalah rakan subahat kepada mereka (kerajaan Myanmar)," katanya.
Sementara itu, Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi dikatakan akan bertemu dengan Suu Kyi pada Isnin untuk menghantar bantuan kemanusiaan terhadap etnik tersebut.
Difahamkan, ia sebagai mesej yang Indonesia turut serta menentang kekejaman kerajaan Myanmar.
"Kami akan membincangkan secara terperinci tentang cadangan dan pelan Indonesia untuk menghantar bantuan kemanusiaan terhadap etnik Rohingya," katanya.
Sumber: Sinar Harian