Kekuatan Bom Nuklear Korea Utara Lapan Kali Ganda Bom Atom Di Jepun


TOKYO – Ujian nuklear Korea Utara pada Ahad lalu dipercayai mampu menghasilkan letupan dengan kekuatan 120 kiloton atau lapan kali lebih kuat daripada bom atom yang digugurkan di bandar Hiroshima pada tahun 1945, kata Menteri Pertahanan Jepun, Tomohiro Yamamoto kelmarin seperti laporan Jiji Press.

Angka itu meningkat berban­ding anggaran awal 70 kiloton tidak la­ma selepas ujian nuklear keenam Korea Utara.

Yamamoto membuat kenyataan itu semasa menjawab soalan seorang wakil rakyat daripada parti pemerintah.

Anggaran awal dibuat berdasarkan pengumuman Suruhanjaya Persediaan Pertubuhan Perjanjian Pengharaman Komprehensif Ujian Nuklear Komprehensif (CTBTO) bahawa ujian nuklear Pyongyang mencetuskan gempa bumi bermag­nitud 5.8.

Analisis lanjut CTBTO mendapati gempa akibat letupan itu berkekuatan 6.0 magnitud.

Yamamoto berkata, magnitud gempa 6.0 menandakan letupan nuklear itu mempunyai kekuatan 120 kiloton.

Bom atom yang digugurkan oleh Amerika Syarikat di Hiroshima pula menghasilkan ledakan 15 kiloton. – BERNAMA