Keliru Punca Chong Wei Rebah


KEKALAHAN jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei kepada pemain bukan pilihan dari Perancis, Brice Leverdez pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow, Scotland bukan berpunca daripada corak permainan bekas pemain No. 1 dunia tersebut.

Sebaliknya, ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek mendedahkan, kekeliruan Chong Wei ketika menerima arahan serta tip pada perlawanan terbabit menjadi punca utama dia tersingkir.

Misbun berpendapat, salah faham dan kekeliruan tersebut berlaku mungkin disebabkan Chong Wei tidak berada di bawah kendaliannya sejak sekian lama selain faktor sering bertukar jurulatih sepanjang enam tahun ketiadaannya sebelum ini.

“Sebenarnya apa yang terjadi kepada Chong Wei di sana (Glasgow) bukan berpunca daripada permainannya, cuma dia keliru ketika menerima arahan dan tip saya. Mungkin perkara itu disebabkan saya tidak bersamanya lebih kurang enam tahun.

“Bagaimanapun, saya tidak salahkan Chong Wei kerana dia sudah lama tidak berlatih bersama saya selain jurulatihnya sering bertukar ganti. Fikirannya seolah-olah ‘kosong’ pada perlawanan tersebut,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.

Pada aksi pusingan pertama di Emirates Arena bulan lalu, hasrat Chong Wei meraih kejuaraan dunia pertamanya lebur apabila tewas 19-21, 24-22, 17-21 kepada Leverdez biarpun turun sebagai pemain pilihan kedua kejohanan.

Tambah Misbun, beliau me­ngakui Leverdez menampilkan aksi lebih baik berbanding Chong Wei pada perlawanan berkenaan selepas pemain Pe­rancis itu berjaya mengesan kelemahan pemain berusia 35 tahun tersebut.

“Dalam tempoh lima minggu sebelum berangkat ke Glasgow, saya memberikan sedikit bantuan kepada Chong Wei, ter­utamanya dari segi kelemahan-kelemahan yang dia sendiri tidak sedar. Saya boleh katakan dia tidak berdepan sebarang masalah ketika melakukan persiapan.

“Bagaimanapun, Brice (Leverdez) dapat mengesan Chong Wei berada dalam keadaan keliru, sekali gus membolehkan dia mengasak Chong Wei de­ngan melakukan serangan demi serangan menyebabkan Chong Wei sukar mengubah permai­nan,” tambah Misbun.

Legenda badminton tanah air itu turut mengakui pemain-pemain ternama lain sudah tidak gerun dengan kehadiran Chong Wei memandangkan pemenang pingat perak Sukan Olimpik sebanyak tiga kali tersebut sering menjadi sasaran utama.

Katanya, dengan usia Chong Wei yang semakin meningkat, corak permainannya dilihat semakin berubah tetapi Misbun bertekad akan membantu pemain kelahiran Pulau Pinang itu kembali digeruni pemain lawan.

“Ketika Chong Wei berada di kemuncak prestasi, dia memiliki senjata rahsia yang sangat digeruni lawan tetapi apabila umur semakin meningkat, permainannya dilihat berubah, terutamanya dari segi kepantasan dan serangan.

“Bagaimanapun, saya akan berusaha membantu Chong Wei mengembalikan sentuhan berbisanya. Saya juga tidak menolak kemungkinan akan terus membantu Chong Wei bagi menghadapi kejohanan dunia tahun depan,” ujarnya.

Sumber: Kosmo