PELAKON drama bersiri popular Gerak Khas, Nizen Ayob mendakwa dirinya telah disihir oleh pihak yang dikatakannya tidak bertanggungjawab.
Nizen, 32, mendedahkan perbuatan terkutuk itu menerusi akaun Instagramnya kelmarin.
Menerusi posting itu, Nizen memuat naik sekeping gambar menunjukkan sebatang paku berkarat dan objek hitam yang tidak dapat dikenal pasti selain kecederaan di dahinya ketika berubat.
"Ingatlah setiap penyakit ada ubatnya, ingatlah setiap yang hidup pasti ada mati,
"Ingatlah syurga pasti ada neraka, ingatlah setiap yg sakit pasti ada sihatnya kecuali kematian, ingatlah iman seseorang pasti ada nafsunya, yang sabar itu pasti ada barannya.
"Selagi aku mampu tersenyum aku akan tersenyum, semoga kepuasan milikmu wahai pengirim sekali lagi...
"Percayalah Allah itu ada... Cuma kali ni berbekas sikit kepala aku waktu keluarkan," tulisnya di Instagram.
Terdahulu, Nizen pernah mendapatkan rawatan Islam untuk merawat penyakit misteri yang dihidapinya pada awal Mei lalu.
Objek serupa dan beberapa batang paku berkarat didakwa telah dikeluarkan daripada badannya.
Nizen mempunyai pertalian darah dengan legenda seni tempatan, Allahyarham Datuk S. Roomai Noor serta isteri, Allahyarham Datin Umi Kalthum dan pernah membintangi drama popular antaranya Janji Jaslina, Istikharah Cinta dan Cinta Jannah.
Sumber: Astro Awani