Keluarga Mangsa Banjir Berdaftar Diberi Bantuan Awal RM100 - MB Kedah


ALOR SETAR - Setiap keluarga mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan akan diberi bantuan tunai RM100 untuk perbelanjaan selain bantuan keperluan makanan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, bantuan itu hanya diberi kepada mereka yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat  dan terjejas akibat banjir yang melanda beberapa temt di negeri ini sejak Khamis lalu.

Sejak malam tadi sebanyak 781 keluarga terdiri 2,500 penduduk di negeri ini telah berpindah ke pusat pemindahan termasuk di sekolah-sekolah.

Ahmad Bashah juga memberitahu, pihak kerajaan akan berbincang dengan Jabatan Pendidikan mengenai persekolahan jika bangunan sekolah masih diperlukan untuk pusat pemindahan banjir.

"Oleh kerana Ahad sekolah masih cuti ganti bagi Maal Hijrah, kita akan lihat kedaaan banjir pada hari Isnin.  Jika air surut mangsa yang di tempat di sekolah akan dibenarkan balik ke rumah masing-masing", kata Ahmad Bashah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Alor Mengkudu dekat sini tengah malam tadi.

Seramai 101 orang daripada 23 keluarga daripada beberapa buah kampung di sekitar Dewan Undangan Alor Mengkudu dipindahkan malam tadi berikutan air Sungai Kedah melimpah akibat hujan di kawasan hulu di daerah Padang Terap.

Sementara itu, sebuah lagi pusat pemindahan dibuka di dewan orang ramai Kampung Kelompang, Alor Mengkudu yang menempatkan 17 penduduk.

Turut sama melawat malam tadi pegawai daerah kota Setar, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat, pegawai Angkatan Pertahanan Awam serta Pegawai Penyelaras DUN Alor Mengkudu selain pemimpin UMNO dan MCA bahagian Alor Setar.

Menteri besar berkata, banjir kali ini tidak seburuk banjir besar yang berlaku 20 tahun lalu dan ianya kembali pulih selepas dua hari.

Namun begitu beliau berharap penduduk di kawasan rendah termasuk yang tinggal di tepi sungai agar bersedia dan berpindah awal serta meningkut arahan pihak berkuasa.

" Kita tidak boleh menunggu hingga lewat malam untuk berpindah kerana berbagai kesukaran berlaku jika air naik dengan cepat, " katanya.

 Sementara itu, Ahmad Bashah turut melawat pusat pemindah banjir Kubang Pasu dan Pokok Sena tengah hari ini (Ahad). - Kedahnews.com