Kem Pelarian Rohingya Di Bangladesh Berkembang Secara Dramatik


COX'S BAZAR - BANGLADESH. Kewujudan kem pelarian sementara di kawasan ladang dan tanah terbuka di selatan Bangladesh dilaporkan meningkat secara mendadak selepas lebih 420,000 penduduk Rohingya kini melarikan diri daripada keganasan di Rakhine.

Imej terbaharu satelit menunjukkan ribuan tempat perlindungan sementara telah didirikan di daerah Cox's Bazar dalam tempoh beberapa minggu sejak krisis terbaharu tercetus di negeri barat Myanmar pada 25 Ogos lalu.

"Khemah sementara kini memenuhi kawasan tersebut. Ia perkembangan dramatik dan kawasan itu menjadi sesak secara tiba-tiba," kata penganalisis imej di DigitalGlobe berpusat di Colorado, Stephen Wood.

Dianggarkan, sais kem pelarian itu telah meningkat dua kali ganda dalam tempoh beberapa minggu.

Pada 16 September lalu, imej satelit di kem Kutupalong mendapati ia 'mengembang' kira-kira 3.9 kilometer persegi iaitu kira-kira empat kali ganda dari saiz asal dan perkara sama turut berlaku di kem Balukhali. - AP