Kemalangan Tidak Patah Semangat Skuad Berbasikal Para Negara


KUALA LUMPUR - Insiden kemalangan membabitkan skuad berbasikal para negara tidak mematahkan semangat mereka untuk sekurang-kurangnya meraih 10 pingat emas pada Sukan Para ASEAN kesembilan nanti.

Pengurus pasukan, Mohd Asri Abdul Mubin berkata, enam pingat emas disasarkan dalam acara trek manakala empat lagi dalam acara lebuh raya.

"Mereka ada semangat setia kawan dalam pasukan yang tinggi dan semangat itu yang beri kekuatan untuk bertanding.

Mereka jalani latihan bersama jadi mereka semua tidak patah semangat walaupun kejadian tidak diingini telah berlaku. Keputusan sama dua atlet para kita akan bertanding atau tidak masih belum muktamad.

Kena tunggu keputusan daripada pakar perubatan," katanya pada sidang media Kita Juara Para ASEAN, di sini, semalam.

Insiden yang berlaku pada Khamis kira-kira pukul 10.45 pagi itu, membabitkan Ketua Jurulatih Mohd Johari Nayan dan Muhammad Khairul Nizam Mohd Ali serta Mohd Hairul Hazwan Wahab termasuk dua 'pilot rider' iaitu Mohd Nor Rizuan Zainal dan Muhamad Nur Syafiq Suhaimy dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di KM12.6 Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar).

Dua pelumba berbasikal para, Muhammad Khairul Nizam dan Mohd Hairul Hazwan mengalami hentakan di kepala akibat kemalangan manakala dua 'pilot rider' mengalami kecederaan serius.

Sementara itu, atlet berbasikal para negara Muhamad Afiq Afify Rizan berkata, mereka telah melakukan persiapan lengkap bagi membolehkan mereka mambantu skuad negara mencapai sasaran yang ditetapkan.

"Secara peribadi saya sendiri sasar tiga emas dan saya yakin boleh capai sasaran itu jika boleh buat terbaik. Lagi pun saya tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri beraksi di Velodrom Nilai," katanya.

Skuad berbasikal para melibatkan 26 atlet dan lapan pegawai akan turut serta dalam 24 acara yang dipertandingkan. - BERNAMA