SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya menyebut bahawa suruhanjaya itu menggalakkan parti-parti politik untuk menyerahkan nama calon masing-masing bagi disaring agar tidak wujud unsur rasuah dan penyelewengan sebelum bertanding pada PRU14.
Namun parti-parti pembangkang nampak macam tersentak dengan cadangan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang mengutarakan perkara itu di Perlis, kelmarin.
Pakatan Harapan cepat 'melenting' dan mendabik dada kononnya mereka tidak perlukan SPRM untuk menyaring calon kerana parti ada cara yang tersendiri.
Soalnya apa yang mahu disembunyikan jika tidak terlibat dengan gejala rasuah.
Pakatan Harapan (PH) mendakwa mereka tidak memerlukan bantuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyaring calon-calonnya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata pembangkang mempunyai saringan dalamannya, namun akur kepada permintaan SPRM jika agensi berkenaan mahu pihaknya berbuat demikian.
"SPRM siapa? Kenapa mereka yang kena saring? Kita yang akan buat saringan," katanya dipetik Antarapos semalam.
Pada sidang media PH di ibu pejabat PKR, semalam Wan Azizah yang juga Presiden PH mempertikaikan 'ketelusan' SPRM yang dilihat sering 'berat sebelah' apabila melakukan pendakwaan terhadap pembangkang berbanding pihak kerajaan.
"Kita ada saringan dalam tersendiri. Jika mereka mahu saringan sudah pasti kita pun lakukan. Tetapi kita tahu SPRM, dari pengalaman lepas-lepas, kita buat aduan namun tindakan kepada pembangkang cepat. Tetapi disebelah sana, ada pendakwaan terpilih," dakwa Wan Azizah.
Sementara itu Exco Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Iskandar Abd Samad yang turut memberi komen berkata SPRM sepatutnya kekal bebas tidak perlu masuk campur urusan parti-parti politik.
"Apabila mereka (SPRM) terlibat di dalam politik maka keyakinan rakyat terhadap mereka akan terhakis, kata pemimpin PAS Selangor yang dipetik daripada HarakahDaily semalam.
Bagaimanapun Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hasan menyambut baik cadangan itu dan menyifatkan langkah SPRM itu sebagai usaha wajar disokong dalam membentuk nilai integriti wakil rakyat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh, berkata usaha SPRM yang terbuka itu menerima mana-mana calon dari parti politik untuk menyaring bakal calon bagi PRU 14.
Bagaimanapun Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hasan menyambut baik cadangan itu dan menyifatkan langkah SPRM itu sebagai usaha wajar disokong dalam membentuk nilai integriti wakil rakyat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Temerloh, berkata usaha SPRM yang terbuka itu menerima mana-mana calon dari parti politik untuk menyaring bakal calon bagi PRU 14.
Dzulkifli semasa Program Kembara Jelajah Antirasuah (Kejar '17) di Perlis berkata, walaupun tiada undang-undang atau paksaan untuk parti-parti politik berbuat demikian, tetapi saringan dibuat bagi memastikan bakal-bakal calon bersih khususnya dari aspek rasuah dan salahguna kuasa.
Menurut Dzulkiflilagi, hanya Barisan Nasional (BN) yang selalu menghantar nama-nama pemimpin dan bakal-bakal calonnya untuk disaring oleh SPRM manakala parti-parti pembangkang tidak pernah berbuat demikian.
Sebelum ini Dzulkifli melahirkan kekecewaan SPRM terhadap sikap Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang masih enggan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sedangkan semua negeri lain telah berbuat demikian.
Manakala Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dilihat 'angkuh' kerana enggan memohon maaf selepas mendakwa SPRM membuat 'penahanan haram' terhadap seorang anggota Exco di negeri itu yang sedang disiasat kes penyelewengan. - Kedahnews.com