SESIAPA yang sering menaiki kapal terbang pasti sudah sedia maklum tentang bentuk tingkap pengangkutan ini kan? Ia berbentuk bujur.
Tapi pernah terfikir tak kenapa mesti ianya berbentuk bujur? Kenapa bukan berbentuk petak atau mungkin bulat?
Pada tahun 1953, terdapat kes tiga buah kapal terbang yang terhempas, mengakibatkan lebih kurang 43 nyawa terkorban.
Persamaan punca nahas ketiga-tiga pesawat tersebut adalah disebabkan mempunyai bentuk tingkap yang sama iaitu petak.
Berikutan itu maka bermulalah penciptaan tingkap kapal terbang berbentuk bujur.
Sejarah penciptaan itu bermula apabila terdapat sebuah industri penerbangan pada ketika itu ingin menjimatkan penggunaan minyak.
Bagi menjimatkan penggunaan minyak oleh kapal terbang, ia perlu terbang tinggi dengan altitud 30,000 kaki.
Hal ini kerana, pada ketinggian itu ketumpatan udara adalah lebih rendah dan boleh mengurangkan geseran pada kapal terbang.
Bagaimanapun untuk melakukan penerbangan setinggi itu, tekanan dalam kapal terbang perlu dikekalkan bagi membolehkan para penumpang bernafas seperti biasa.
Ketika mencapai tahap altitud yang tinggi, tekanan pada bahagian badan kapal terbang akan semakin berkurang namun tekanan di dalam tidak akan berubah sama sekali.
Kesan perbezaan tekanan ini akan menyebabkan badan kapal terbang sedikit mengembang dan perubahan ini akan mengakibatkan ketegangan terhasil lalu mengalir dalam bahan tersebut.
Ketegangan yang semakin bertambah inilah yang menjadi faktor utama badan kapal terbang tersebut rosak dan lagi teruk patah.
Selain itu, terdapat juga faktor lain yang menyumbang kepada perkara itu.
Salah satunya, bentuk bahan itu sendiri. Di mana, dalam kapal terbang bentuk tingkap merupakan antara faktor yang boleh memberi impak tinggi kepada ketegangan yang terhasil.
Apabila ketegangan berlaku, secara tidak langsung ia perlu mengubah arah melalui tingkap yang dipasang pada kapal terbang tersebut.
Perubahan arah ini akan menghasilkan tekanan yang tinggi pada bahagian tertentu terutamanya pada bucu tingkap.
Keadaan ini akan mengakibatkan badan kapal terbang retak atau lagi teruk ia akan pecah lalu menyebabkan ia terhempas.
Kebanyakan pakar telah membuat kajian terhadap kes kapal terhempas itu dan menjumpai penyelesaiannya, iaitu dengan menghasilkan tingkap berbentuk bujur.
Mereka menemui teori di mana tingkap yang berbentuk bujur akan menghasilkan tekanan yang lebih rendah berbanding tingkap berbentuk petak.
Inilah sebabnya mengapa tingkap kapal terbang itu berbentuk bujur sehingga ke hari ini. – Kedahnews.com