Kerajaan Gubal Akta Berkaitan CCTV


JOHOR BAHRU -Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menggubal satu akta baharu berkaitan kamera litar tertutup (CCTV) tahun depan.

Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, antara perkata yang terkandung dalam akta peranti pengawasan itu nanti termasuk mewajibkan premis perniagaan di kawasan tumpuan ramai untuk memasang CCTV berteknologi tinggi.

Beliau berkata CCTV yang dilengkapi peranti pengawasan itu mampu mengesan wajah dengan kualiti definisi tinggi (HD) dan boleh dihubungkan dengan balai polis berdekatan.

Katanya pemasangan CCTV berkenaan bukan sahaja bertujuan menjaga keselamatan tetapi memudahkan pengecaman wajah penjenayah dan boleh dijadikan bahan bukti dalam proses penghakiman.

“Yang pentingnya semua CCTV ini dapat disatukan dan dihubungkan dengan pusat kawalan ‘control centre’ polis untuk lebih efektif dari segi penjegahan jenayah.

“Sekarang ini ‘control centre’ di tempat pemilik sendiri dan pihak polis terpaksa meminta rakaman CCTV selepas berlaku. Kita hendak pastikan CCTV dapat membantu polis semasa kejadian berlaku maka pihak polis boleh ambil tindakan lebih cepat," katanya pada sidang media Program Jejak Perwira sempena Hari Kebangsaan dan sambutan Hari Malaysia di Pejabat Cawangan Kereta Peronda Johor Bahru, di sini hari ini.

Jelas Nur Jazlan, CCTV peranti pengawasan itu sudah diguna pakai di negara seperti United Kingdom yang sehingga kini berjaya merakam 20 juta wajah rakyatnya untuk digunakan sebagai rujukan bagi tujuan penyiasatan.

Ia juga turut digunakan di China dan Australia.

Katanya CCTV kini hanya mampu merekod secara pasif jenayah yang dilakukan pesalah dan tidak boleh diolah oleh perisian bagi mendapatkan gambaran jelas bagi tujuan penyiasaatan.

Sumber: Astro Awani