Kerajaan Kaji Bina Kemudahan Parkir Bertingkat Untuk PPR


KUALA LUMPUR - Kerajaan bercadang membina tempat letak kereta bertingkat di sekitar kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Pantai di sini, bagi memudahkan penghuni meletak kenderaan masing-masing dengan teratur.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata projek itu dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat untuk menangani isu tempat letak kereta serta menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit.

"Buat masa ini, kita sedang jalankan kajian untuk melihat di mana tempat yang sesuai untuk laksanakan projek ini.

"Projek ini mampu menggandakan jumlah tempat letak kereta dan ini akan memudahkan penghuni meletakkan kenderaan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jom Bantu Rakyat-Komuniti Ceria, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan serta ribuan penghuni PPR Lembah Pantai.

Mengenai program berkenaan, Tengku Adnan berkata, ia yang berkonsep mendekati masyarakat bertujuan membantu rakyat mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi mereka.

"Program ini turut membabitkan penyertaan 30 agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi dengan menyediakan pameran dan perkhidmatan secara terus kepada masyarakat setempat," katanya.

Antara perkhidmatan disediakan adalah temu duga pekerjaan yang menawarkan lebih 500 peluang kerja, permohonan Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP), saringan kesihatan dan permohonan latihan kemahiran.

Selain itu, kaunter Jabatan Pendaftaran Negara, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Jabatan Kebajikan dan Amanah Raya Berhad.

Sumber: BH Online