Kerajaan Kedah Sedia Selaras Keputusan Kerajaan Berkenaan Tahfiz


ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah menyatakan kesediaan atas sebarang keputusan kerajaan persekutuan bagi memastikan sekolah tahfiz memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah cadangan yang bakal dikemukakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi  termasuk meminda Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) adalah yang terbaik dan akan dimanfaatkan di Kedah.

Kedah juga turut bersetuju dengan cadangan yang yang disenaraikan pada mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi  Pasukan Petugas Khas Sekolah-Sekolah Tahfiz kelmarin.

“Kita bersetuju apa yang dicadangkan dalam mesyuarat yang dipengerusikan timbalan perdana menteri dan  kita bersama apa juga keputusan yang dibuat di peringkat pusat untuk selaraskan di peringat negeri nanti.

“Insiden yang berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiah, Kuala Lumpur itu amat menyedihkan malah orang ramai turut menggesa supaya semua sekolah dan maahad tahfiz diberi perhatian sebaik mungkin,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid,cadangan tersebut akan dibawa dan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam  yang dipengerusikan Perdana Menteri.

Selain itu, cadangan tersebut turut mencadangkan agar mewujudkan kerangka kriteria kelulusan bagi pembentukan dan pengurusan maahad tahfiz seluruh negara dengan spesifikasi piawaian oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Malah, Mahad Tahfiz juga perlu diselaraskan sebaris dengan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan supaya tidak timbul soal prasangka pengambilan dan pertindihan kuasa antara kedua-dua pihak.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak g memberi peruntukan RM30 juta kepada semua mahad tahfiz swasta di seluruh negara agar menaik taraf pembangunan infrastruktur institusi itu. - Kedahnews.com