PULAU PINANG - Kesedaran umat Islam terhadap ibadah korban pada Hari Raya Aidiladha diyakini semakin meningkat dengan penambahan jumlah haiwan sembelihan di masjid-masjid di sekitar negeri ini dari tahun ke tahun.
Pengerusi Kariah Masjid Kapitan Kling, Datuk Meera Mydin berkata, pihaknya menyembelih 200 ekor kambing pada tahun ini yang mana menunjukkan peningkatan sebanyak hampir 50 ekor berbanding tahun lalu.
"Kalau kita lihat 17 tahun lepas, masjid ini hanya menyembelih antara 60 hingga 70 ekor kambing pada setiap tahun sambutan Aidiladha.
"Sambutan amat baik, orang ramai tahu tanggungjawab mereka terhadap agama, yang berkemampuan akan laksanakannya," katanya ketika ditemui pemberita di masjid berkenaan di sini hari ini.
Seramai 60 ahli jawatankuasa Masjid Kapitan Kling bergotong-royong menyempurnakan ibadah korban bermula pukul 8 pagi hari ini sebelum jamuan makan disediakan kepada lebih 500 pengunjung pada pukul 2 petang.
Dalam masa sama, masjid berkenaan turut mengagihkan 400 bungkusan berisi 600 gram daging korban itu kepada keluarga asnaf di sekitar negeri ini.
Sementara itu, di Masjid Jamek Alimshah Waley di sini, kira-kira 30 ahli jawatankuasanya menyembelih seekor unta, lima lembu dan enam kambing.
Sumber: Utusan Online