KUALA LUMPUR – Kasih sayang serta keikhlasan yang diperlihatkan Laudya Cynthia Bella sudah cukup meyakinkan personaliti media tanah air, Engku Emran Engku Zainal Abidin bahawa pelakon terkenal Indonesia itu sesuai untuk disuntingnya sebagai isteri.
Bagi Engku Emran, selama lebih lima bulan berkenalan dengan aktres itu, kesederhanaan personaliti wanita yang lebih senang dikenali sebagai Bella itu juga amat disenanginya.
Justeru, Engku Emran mengakui, beliau tidak mengambil masa yang lama untuk melamar Bella yang disifatkannya menepati ciri-ciri wanita yang dikehendakinya.
“Kasih sayang dan kejujurannya dalam perhubungan amat saya kagumi. Bella memperlihatkan keikhlasannya untuk menerima saya sebagai suami. Saya bersyukur kepada Allah kerana menghadirkan Bella,” kata Engku Emran kepada Utusan Malaysia selepas majlis pernikahannya dengan Bella di sini kelmarin.
Engku Emran, 42, menikahi Bella, 29, dalam satu majlis yang berlangsung secara tertutup dan hanya dihadiri oleh 160 orang tetamu.
Pasangan itu dinikahkah oleh bapa Laudya Cynthia Bella, Busye Amir dengan mas kahwin sebanyak RM300. Pada majlis itu, Engku Emran menghadiahkan lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada Bella.
Dalam masa sama, Engku Emran juga menghargai kematangan isterinya itu yang sentiasa mengingatkannya agar memandang hal-hal yang baik untuk menuju masa hadapan yang dibina bersama.
“Bella sentiasa memberitahu, jika ada di antara kami yang pernah melakukan kesilapan di masa lalu, maka sudah sampainya untuk kami berdua bergerak ke hadapan dan menjadikan kegagalan silam sebagai pengajaran,” ujar Engku Emran lagi.
Engku Emran sebelum ini pernah berkahwin dengan artis terkenal, Erra Fazira dan melalui perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Engku Aleesya, 8 tahun.
Sumber: Utusan Online