Ketua Armada Kurang Ajar, Tapi Pucuk Pimpinan PPBM Restu - Hamidah


ALOR SETAR - Tidak mahu terus membiarkan diri berdepan dengan sikap kurang ajar dan biadab seorang budak yang layaknya bertaraf anak padanya, Datuk Hamidah Osman lebih rela bertindak meletakkan jawatannya sebagai Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Setelah "mengunci" mulut beberapa ketika selepas perletakan jawatannya, Hamidah akhirnya meluahkan rasa kecewa dengan sikap anak muda seperti Syed Saddiq Abdul Rahman yang dilantik sebagai Ketua Armada, sayap pemuda PPBM.

Beliau berkata, sebagai seorang ibu, wanita dan orang Melayu yang terkenal dengan adab sopan, beliau tidak rela dirinya untuk terus melihat budaya biadab seperti itu terus subur di dalam PPBM.

"Lebih mengecewakan lagi, apabila saya cuba menyuarakan pandangan saya, saya pula dituduh (sebagai) pengkhianat.

"Saya agak kecewalah apabila Syed Saddiq selaku orang yang muda, pangkat anak saya, menuduh saya sebagai agen UMNO, malah menghalau saya keluar dengan perkataan 'berambuslah'.

"Jadi benda-benda seperti ini amat mengecewakan sayalah," luah Hamidah dalam satu kenyataan kepada media.

Hamidah berkata, sebagai seorang ibu dan wanita berbangsa Melayu yang cukup terkenal dengan adab sopan dan sifat berbudi bahasa, beliau tidak dapat menerima sikap biadab yang dimiliki oleh Ketua Armada itu.

Katanya, beliau tidak sanggup untuk melihat budaya yang tidak mencerminkan budaya Melayu itu terus disuburkan Syed Saddiq di dalam parti berkenaan.

"Pada saya, selaku orang Melayu, kita ni kaya dengan adab. Dan sebagai seorang wanita, sebagai ibu, saya tak sangguplah jika ini budaya yang diterapkan dalam PPBM," luahnya menerusi sebuah video yang disiarkan Sinar Harian, baru-baru ini.

Lebih menghairankan lagi, tokoh-tokoh kepimpinan PPBM yang sebelum ini dianggap kononnya "ultra" dan "totok" Melayu, langsung tidak menegur atau bertindak atas kebiadapan Syed Saddiq itu.

Lantaran itu telah menyebabkan Hamidah merasakan bahawa tindakan biadab anak muda terhadap seorang "ibu" itu seolah-olah direstui oleh pucuk pimpinan PPBM yang sepatutnya berlaku sebagai seorang "ayah".

"Apa yang lebih mengecewakan saya, parti seolah-olah membiarkan keadaan ini. Parti langsung tidak mengambil langkah-langkah ataupun mengambil suatu peranan dalam membendung budaya yang dibawa oleh Syed Saddiq.

"Seolah-olah, dilihat apa yang Syed Saddiq buat ini direstui pula. Dan ramai yang berkata, Syed Saddiq takkan berani cakap perkara ni kalau dia tidak mendapat restu daripada kepimpinan.

"Ini adalah satu perkara yang amat berat sebenarnya," luah Hamidah, kesal dengan pucuk pimpinan PPPM yang dikepalai Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad, Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Hamidah yang merupakan antara pengasas pertama PPBM baru-baru ini mengejutkan landskap politik tanahair apabila sanggup meletakkan jawatan Naib Presiden, sekaligus mengesahkan kemelut pepecahan serius yang sebelum ini cuba dinafikan. - Kedahnews.com