SHAH ALAM - Bintang Akademi Fantasia (AF) musim pertama, Khai tidak menyangka kejutan menghadiahkan kereta mewah, Audi TT untuk isterinya, Rosma yang dikongsi di laman sosial, menjadi viral.
Khai atau nama sebenarnya, Khairul Nizam Mohamad, 38, memberitahu, status itu dimuat naik secara spontan kerana teruja dapat menunaikan impian Rosma sejak tujuh tahun lalu.
"Rosma sudah lama mengidam memiliki kereta Audi TT. Setiap kali terserempak di jalan raya, pasti dia tegur. Saya rasa bertanggungjawab untuk menunaikan hasratnya itu.
"Namun, tidak sangka pula perkongsian itu menjadi viral sekelip mata. Rosma menitiskan air mata kerana tidak menyangka menerima hadiah kereta idamannya," katanya kepada BH Online.
Khai bagaimanapun berharap peminat tidak salah faham atau menyangka dirinya menunjuk-nunjuk.
"Elemen riak atau menunjuk-nunjuk tak wujud. Saya bersyukur kerana selepas tujuh tahun, saya berjaya membelikan hadiah itu," katanya.
Ditemui pada konsert homecoming AF Megastar di Royal Theater, di sini, malam tadi, Khai mengulas mengenai keputusannya enggan menyertai program itu.
"Dari awal lagi saya tidak mahu turut serta. Biarlah rakan seangkatan yang mempunyai vokal hebat namun tidak diberi ruang untuk membuktikan kebolehan mereka menyertainya," katanya.
Sumber: BH Online