Kim Swee Masih Relevan

 

KUALA LUMPUR - Pengurus skuad bawah 22 tahun (B-22) negara Datuk Wira Yusoff Mahadi menganggap khidmat Datuk Ong Kim Swee masih diperlukan untuk membimbing pasukan negara bagi persediaan mengharungi pusingan akhir Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di China Januari depan.

Beliau berkata, kejayaan membawa skuad muda negara layak secara automatik buat kali pertama ke kejohanan itu serta meraih perak Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, Selasa lalu membuktikan kemampuan Kim Swee mencapai sasaran ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Skuad yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee mencapai keputusan baik di dua kejohanan besar tahun ini. Pasukan ini melepasi kelayakan AFC (B-23) di Bangkok bulan lalu dan layak ke final Sukan SEA.

“Walaupun kita kalah kepada Thailand (0-1) dan meraih perak, kejayaan mara ke final Sukan SEA itu boleh dianggap baik seperti diakui sendiri Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Semua pemain menunjukkan semangat juang tinggi pada final itu cuma nasib tidak menyebelahi kita. Saya fikir dua pencapaian ini boleh dijadikan asas penilaian untuk FAM menentukan kedudukan Kim Swee nanti,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Akhbar ini kelmarin melaporkan mengenai nasib Kim Swee yang masih belum pasti untuk membimbing skuad B-22 selepas kontraknya berakhir 31 Disember ini.

Malah difahamkan ada beberapa kelab utama Liga Super Indonesia (ISL) termasuk satu kelab berpangkalan di Jakarta berminat mendapatkan khidmat bekas jurulatih kebangsaan itu.

Bagaimanapun Kim Swee, 46, enggan memberi sebarang komen mengenai spekulasi itu sebaliknya mahu memberi fokus kepada proses perbincangan dengan FAM mengenai lanjutan kontraknya dalam masa terdekat ini.

Yusoff yang juga Timbalan Presiden FAM berkata, segala keputusan bergantung kepada penilaian Jawatankuasa Teknikal dan beliau berharap kata putus dapat dicapai kerana mereka hanya ada lebih kurang empat bulan sebelum menghadapi Kejohanan AFC B-23.

“Kejohanan AFC akan berlangsung Januari tahun depan, saya fikir untuk meletakkan jurulatih baru agak susah kerana masa agak singkat. Peluang untuk kontrak Kim Swee disambung ada tapi bergantung kepada keputusan pihak pengurusan.

“Kalau mengikut perancangan awal, pemain perlu dipanggil semula Disember ini sebelum ke China. Kali ini kita perlu melakukan persiapan lebih rapi dan bukannya secara tergesa-gesa untuk menyediakan pasukan lebih mantap,” katanya.

Sumber: MyMetro