KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),Tan Sri Dzulkifli Ahmad mengingatkan Penasihat DAP Lim Kit Siang supaya jangan melampau dan biadap dalam mengeluarkan kata-kata yang tidak beradab.
"Kita (SPRM) terbuka untuk terima kritikan tetapi jangan melampau dan biadap, " kata Dzulkifli mengulas perkatan 'monyet' yang digunakan Kit Siang terhadap beliau.
"Inikah adab dan cara Lim Kit Siang dan adakah itu budaya Malaysia? Kita ada adab dan kita masyarakat Malaysia yang beradab dan perkataan yang digunakan Lim Kit Siang adalah perkataan yang tak bertamadun," katanya yang dipetik dari Berita Harian.
Dzulkifli berkata, perkataan dan perumpamaan yang digunakan Kit Siang itu jelas menunjukkan adab yang diamalkan pemimpin itu dan rakyat boleh menilai kenyataan dan tindakannya itu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Kembara Jelajah Anti Rasuah (KEJAR '17) Sempena Ulangtahun Penubuhan BPR/SPRM ke-50 dan Majlis Perasmian Mural Pencegahan Rasuah SPRM Perak di Bangunan SPRM Perak di Ipoh semalam.
Kelmarin Kit Siang dalam kenyataannya membidas Dzulkifli dengan menyatakan semua mata turut memerhatikan suruhanjaya itu dan sama ada beliau dapat memimpin badan antirasuah yang bersih.
Kit Siang berkata, orang ramai khususnya sedang menilai pendirian Dzulkifli mengenai skandal 1MDB.
"Dzulkifli harus menyedari bahawa jika dia bertindak seperti monyet yang mempunyai mata tetapi tidak melihat, ada telinga tetapi tidak mendengar dan mulut tetapi tidak berbicara mengenai skandal 1MDB, beliau akan menjadikan SPRM sebagai agensi anti-rasuah kleptokratik pertama di dunia," kata Kit Siang yang dipetik dari Malaysiakini.
Sebelum ini, Ketua Menteri Pulua Pinang Lim Guan Eng yang juga anak Kit Siang memfitnah SPRM dengan membuat dakwaan suruhanjaya itu melakukan 'penahanan haram' terhadap Exco negeri itu yang disiasat bagi satu kes salahgunakan kuasa. - Kedahnews.com
.