Konflik Di Rakhine Makin Buruk


COX'S BAZAR, Bangladesh – Hampir 90,000 penduduk minoriti Islam Rohingya melarikan diri ke Bangladesh sejak keganasan di Myanmar tercetus pada Ogos lalu.

Keganasan di Rakhine memaksa 87,000 pelarian Rohingya meninggalkan Myan­mar. Angka itu jauh lebih tinggi berbanding bilangan etnik berkenaan yang memasuki Bangladesh selepas serangan pemberontak pada Oktober lalu.

Serangan oleh Tentera Penyelamat Arakan Rohingya (ARSA) itu mendorong tentera Myanmar melancarkan operasi pembersihan yang dicemari tuduhan pencabulan hak asasi manusia.

Anggaran terbaharu pela­rian Rohingya itu dibuat berdasarkan pengiraan oleh petugas bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di daerah Cox’s Bazar dekat sempadan kedua-dua negara.

PBB berkata, angka ke­seluruhan etnik Rohingya yang berlindung di Bangladesh sejak Oktober 2016 ialah hampir 150,000 orang.

“Kami sedang cuba untuk membina rumah-rumah di sini (Cox’s Bazar) tetapi ruang tidak mencukupi.

“Tiada pertubuhan bukan kerajaan yang datang untuk membantu. Kami tiada makanan. Kaum wanita terpaksa bersalin di tepi jalan,” kata Mohammed Hussein, 25, yang masih mencari tempat tinggal selepas melarikan diri dari negeri Rakhine, barat laut Myan­mar empat hari lalu.

Keganasan di Rakhine tercetus selepas pejuang-pejuang ARSA menyerang lebih 30 pos polis dan sebuah pangkalan tentera pada 25 Ogos lalu.

Serangan balas dan operasi pembersihan oleh tentera Myanmar mengakibatkan sekurang-kurangnya 400 orang terbunuh. 

Sumber: Kosmo