Kor Ming Tercabar PSM 'Ambil' Kerusi Parlimen, Lima DUN Milik DAP Perak


PENGERUSI DAP Perak Nga Kor Ming tercabar apabila Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengumumkan untuk meletak calon untuk menentang  DAP di  Parlimen Batu Gajah dan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri Perak.

PSM juga akan meletakkan calon di kerusi Parlimen Sungai Siput yang disandang wakil PKR, Dr Michael Jeyakumar tetapi kini menyertai PSM.

"DAP berasa kecewa PSM umum tanding kerusi DAP tanpa sebarang rundingan. 

 "Memandangkan PSM telah membuat pengumuman sendiri untuk bertanding di kerusi-kerusi  DAP, Pakatan Harapan akan bertanding di Parlimen Sungai Siput," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Taiping menambah, DAP mahupun PH tidak gentar dengan cabaran PSM kerana parti itu tidak mampu menggugat keyakinan pengundi di negeri itu terhadap pembangkang.

 "Kita telah terbukti pada pilihan raya dulu, iaitu pada 2008 dan 2013, PSM juga bertanding tiga penjuru di DUN Jelapang tetapi kedua-dua kali parti itu hilang deposit pertaruhan. 

 "Sejarah membuktikan pengundi-pengundi Perak sudah hantar mesej jelas mereka tolak PSM," ujarnya lagi.

 Semalam, PSM mengumumkan akan bertanding di tujuh kerusi di Perak pada PRU14.
Ahli Jawatankuasa PSM Pusat, S Arutchelvan berkata, enam daripada tujuh kerusi itu disandang wakil DAP.

Tujuh kerusi tersebut membabitkan dua kerusi parlimen iaitu Batu Gajah dan Sungai Siput serta lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Tronoh, Menglembu, Jelapang, Buntong dan Malim Nawar. 

Kecuali Parlimen Sungai Siput, semua kerusi terbabit dimenangi calon DAP pada PRU13.-Kedahnew.com.