Kuala Perlis Pilihan Utama Bagi Penyeludup


BANGKOK  –  THAILAND. Berikutan lokasinya yang strategik, bandar Kuala Perlis telah menarik perhatian sindiket penyeludupan hidupan liar untuk menggunakan  bandar sunyi di tepi pantai itu sebagai laluan menyeludup pelbagai haiwan eksotik ke China.

Ditangkap di hutan-hutan  di Indonesia, haiwan eksotik berkenaan termasuk tenggiling, malah Orang Utan terpaksa mengharungi perjalanan sukar menyeberangi lautan untuk dibawa ke Kuala Perlis, Padang Besar, Hatyai dan Laos sebelum sampai ke destinasi utama,  China.

“Sindiket memilih laluan Padang Besar kerana ia laluan terdekat dari Indonesia ke  Thailand. Mereka ( penyeludup hidupan liar) menggunakan bot dari Indonesia ke pelabuhan Kuala Perlis di Malaysia dan kemudiannya ke Thailand.

“(Kuala Perlis) hanya terletak kira-kira 40km dari sempadan Padang Besar,” kata Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kastam Padang Besar, Arthit Visuttismajarn kepada Bernama, baru-baru ini mengenai faktor kedekatan di antara  Kuala Perlis ke sempadan  Thailand-Malaysia.

Menurutnya, Kuala Perlis-Padang Besar hanya merupakan satu daripada banyak laluan digunakan sindiket penyeludupan untuk membawa 'barangan' mereka ke China, bagi memenuhi peningkatan permintaan di negara itu bagi haiwan eksotik.

Menurutnya, sekiranya penyeludup berjaya melepasi sempadan Malaysia-Thailand di  Padang Besar, haiwan eksotik itu akan diserahkan kepada anggota sindiket di Hatyai, yang akan membawanya ke sempadan Thailand-Laos dan seterusnya ke China.

Hatyai merupakan laluan transit penting bagi sindiket penyeludupan hidupan liar.

Pegawai kastam Thailand telah mengenal pasti kira-kira 11 kawasan berisiko di sepanjang 12km di sempadan  Thailand-Malaysia yang memisahkan  Perlis dan daerah Sadao, Songkla, yang digunakan penyeludup hidupan liar dan telah meningkatkan pengawasan.

Arthit berkata, pada 7 Jun lalu, anggotanya berjaya memintas penyeludupan spesies penyu yang diancam kepupusan dan batu karang jarang ditemui di sempadan.

Tetapi rampasan terbesar hidupan liar eksotik pada tahun ini adalah pada 21 Julai di Pusat Pemeriksaan Imigresen di Padang Besar apabila mereka berjaya menahan sebuah trak pikup berdaftar di Malaysia yang membawa pelbagai haiwan diancam kepupusan termasuk sepasang Orang Utan berumur dua bulan yang disembunyikan dalam beg pakaian.

"Haiwan eksotik lain yang dirampas daripada trak itu ialah kura-kura spesies Hamilton dan Indian Star serta enam ekor rakun," katanya dan menurutnya pemandu kenderaan itu warga Malaysia berumur 63 tahun turut ditahan untuk siasatan.

Jika sabit kesalahan, lelaki warga Malaysia itu berdepan hukuman penjara 10 tahun dan menurut Arthit, lelaki itu mendakwa dia dibayar untuk menghantar haiwan berkenaan kepada seorang lelaki di Hatyai.

Sumber: Sinar Harian