Kutuk Saya, Jangan Kutuk Keluarga Saya - Adik Neelofa, Ameera Khan


ADIK kepada pelakon Neelofa, Nur Ameera Khan mengakui terkilan apabila keluarganya menjadi bahan ejekan dan sindiran netizen di media sosial.

Kata Ameera, 17, dia terkesan apabila keluarganya diheret dalam komen-komen negatif di Instagram dan Twitternya.

"Apa yang saya cakap dan tulis di media sosial adalah diri saya sendiri. Saya tampil secara individual dan bukan berdasarkan lesen kakak-kakak saya.

"Cara saya memang terbuka, saya cakap apa yang saya rasa perlu namun saya akan menjadi defensif apabila ada komen-komen atau kritikan yang melibatkan keluarga saya.

"Itu sebabnya saya balas komen tertentu.

"Saya tak kisah kalau orang hentam saya tapi saja mohon agar jangan petik nama keluarga saya," katanya yang ditemui pada majlis perlantikan Neelofa sebagai duta Lancome Malaysia di Eco Sanctuary, Banting, Selangor semalam.

Ameera mengakui dia tidak membaca komen-komen yang ditulis netizen di media sosialnya terutama yang berbaur negatif.

"Saya akan tutup ruang komen kalau merasakan ia tidak perlu diulas namun netizen akan tetap menghukum saya walau apa sahaja yang saya lakukan," jelasnya.

Terdahulu, Ameera dikritik netizen apabila didakwa memakai pakaian seksi ketika sedang bercuti di Itali bersama keluarganya baru-baru ini.

Baju yang mendedahkan sebahagian daripada bahunya itu dikatakan tidak sesuai dengan usianya sekali gus menjejaskan nama baik keluarga terutama Neelofa.

Sumber:Astro Awani