Lagu 'Standing In The Eyes Of The World' Ella Bakar Semangat


KUALA LUMPUR - Lagu 'berhantu' Standing In The Eyes Of The World, yang pertama kali diperdengarkan pada Sukan Komanwel 1998, cukup nostalgia buat penyanyinya, Ella.

Berpeluang mendendangkan semula lagu itu di lokasi sama, iaitu di Stadium Nasional Bukit Jalil pada acara penutup Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL 2017), Rabu lalu, Ella percaya lagu ciptaan Wah Idris dan David Gates itu mampu memberi nilai positif serta membakar semangat rakyat.

"Tak sangka selepas 19 tahun, saya ulangi momen sama dengan menyanyikan lagu Standing In The Eyes Of The World pada malam penutup KL 2017. Diakui lagu itu dekat dengan hati kita semua.

"Ella lihat lagu itu mampu menyatukan kita tanpa mengira warna kulit. Peluang menjadi sebahagian daripada penyumbang lagu itu adalah pengalaman manis yang takkan saya lupa sampai bila-bila," katanya kepada BH Online.

Lagu Standing In The Eyes Of The World, yang liriknya ditulis Habsah Hassan, menjadi sebahagian daripada lagu sambutan Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur.

Ella atau nama sebenarnya, Norzila Aminudin tidak menyangka lagu itu menjadi siulan ramai serta cukup nostalgia apabila dipersembahkan sekali lagi.

Dalam perkembangan terkini, penyanyi Baldu Biru itu akan muncul dengan album terbaharu, akhir bulan ini.

Selepas 10 tahun tanpa produk baharu, kemunculan buah tangan Ella itu pasti dinantikan peminat.

Semalam, single pertama, Ku Sedia ciptaan Faizal Tahir, Omar K dan Ezra Kon, dilancarkan.

Sumber: BH Online