Lakukan Serangan Seksual Keatas Remaja Lelaki, Anggota Polis Ditahan


KUCHING - Seorang anggota polis ditahan kerana didakwa melakukan serangan seksual terhadap remaja lelaki berusia 14 tahun.

Ketua Siasatan Jenayah Negeri Datuk Dev Kumar berkata mangsa membuat laporan polis di balai polis Batu Kawa kira-kira pukul 12.45 tengah malam Sabtu dengan mendakwa seorang rakan keluarga mereka melakukan serangan seksual terhadapnya.

Suspek berusia 33 tahun yang bertugas di jabatan pengurusan ibu pejabat polis negeri ditahan dari sebuah rumah di Jalan Pinang Jawa kira-kira pukul 5.30 petang hari yang sama.

Menurut Dev, insiden dipercayai berlaku kira-kira pukul 1.10 petang Isnin di dalam kereta milik suspek.

"Suspek terlebih dahulu pergi ke rumah mangsa di Jalan Batu Kawa dan menawarkan untuk menghantar remaja itu ke kedai kakaknya.

"Ketika dalam perjalanan ke sana, suspek membawa mangsa ke kawasan terpencil dan melakukan serangan seksual terhadap remaja itu," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Sumber: Mstar Online