Lelaki Bangladesh Menyamar ‘Pengetua Tahfiz’ Peralat Pelajar Kutip Derma


KUALA KETIL - Pengetua sebuah madrasah tahfiz di Kampung Jawa di sini yang juga didakwa warga Bangladesh didapati menutup madrasah tersebut selepas identitinya terbongkar.

Difahamkan, lelaki menyamar sebagai etnik Rohingya itu memperalatkan pelajarnya bagi kepentingan peribadinya sejak madrasah itu beroperasi pada Julai 2016.

Menurut seorang etnik Rohingya yang tinggal di sini sejak 16 tahun lalu, Hassan Dil Muhammad, identiti lelaki itu terbongkar selepas sekumpulan jemaah tabligh menziarahi madrasah berkenaan pada hujung Mei lalu.

“Dalam kumpulan jemaah tu ada yang datang dari Bangladesh. Jadi dalam pertemuan itu baru tahu lelaki mengaku Rohingya itu sebenarnya adalah dari Bangladesh,” katanya.

Hassan mendakwa, kanak-kanak itu sering diberi arahan mengutip derma di masjid terutamanya pada Jumaat.

“Ada aktiviti belajar, tetapi banyak aktiviti kanak-kanak ni kutip derma daripada orang ramai. Tapi sejak tahfiz tu tutup dah tiada budak-budak tu kutip derma.

“Mereka kutip derma dengan alasan untuk anak-anak yatim, tapi budak-budak itu diambil sementara dari ibu bapa Rohingya yang tinggal di negeri ini,” katanya.

Penduduk Kampung Jawa yang hanya dikenali sebagai Rahimah berkata, pelajar di maahad berkenaan tidak lagi kelihatan sejak Ramadan tahun ini.

"Saya tak tau mana depa pergi sebab tiba-tiba saja hilang. Selalu nampak budak-budak ni waktu petang jalan di kampung ni. Sekarang tak ada,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian berjaya mendapatkan penjelasan salah seorang individu yang nombor telefon dan namanya tertera dalam kain rentang di tahfiz tersebut.

Zainal Sulaiman dari Ipoh yang diletak sebagai Pengerusi menafikan terbabit dengan madrasah itu.

“Saya pun tak tahu dia guna nama saya. Sebelum ini kami salurkan bantuan sebab kesian kepada kanak-kanak Rohingya tu.

“Tetapi bila diselidik, banyak bantuan tak sampai kepada pelajar,” katanya.

Sumber: Sinar Harian