Lelaki Didakwa Buat Tuntutan Palsu GST RM363,769


IPOH -Seorang lelaki sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan membuat tuntutan pulangan balik palsu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bernilai RM363,769 tahun lepas.

Loo Peng Wah, 50, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam Bahasa Kantonis di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Lelaki itu didakwa membuat lima tuntutan pulangan balik palsu GST berjumlah RM363,769 di Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jalan Tun Abdul Razak di sini pada 8 Jan hingga 8 Mei 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 89 (1)(b) Akta GST 2014 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum 20 kali ganda daripada amaun cukai atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

Kes itu dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JKDM, Mohd Safwan Fathi Yahaya manakala tertuduh diwakili peguam Manjeet Kaur dan Dalgit Singh.

Terdahulu, Mohd Safwan mencadangkan kepada mahkamah agar mengenakan wang jaminan terhadap tertuduh sebanyak RM60,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan pasport diserahkan kepada mahkamah selain perlu melapor diri seminggu sekali di pejabat JKDM terdekat.

Pihak pembelaan pula tidak bersetuju dengan permohonan itu sebaliknya memohon supaya mahkamah mengekalkan jaminan mengikut pertuduhan pada 30 Ogos lalu iaitu sebanyak RM140,000 bagi tujuh pertuduhan tanpa dikenakan jaminan baharu.

Murtazadi kemudian mengenakan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri ke pejabat kastam berhampiran sebulan sekali.

Pada 30 Ogos lepas, Loo didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, kerana membuat tujuh tuntutan pulangan balik palsu GST berjumlah RM478,715 antara Oktober 2015 hingga April 2016. – BERNAMA