Lelaki Didakwa Punca Ratusan Bagasi Tersilap Hantar


SINGAPURA - Seorang lelaki yang bekerja sebagai pengendali bagasi di Lapangan Terbang Changi, Singapura dilaporkan menukar pelekat bagasi, mengakibatkan ratusan bagasi dihantar ke destinasi yang salah.

Tay Boon Keh, 63 tahun, yang bekerja dengan sub-kontraktor di lapangan terbang itu didakwa di mahkamah pada Selasa dengan 286 pertuduhan.

Dia tidak menjelaskan sebab tindakannya itu tetap mahu mengaku bersalah.

Pendengaran semula kes pada 17 Oktober dan jika disabitkan kesalahan, dia boleh dipenjara selama setahun atau denda bagi setiap pertuduhan.

Menurut fakta kes, bagasi-bagasi yang sepatutnya dihantar ke Perth, Manila, Frankfurt, London dan San Francisco dilaporkan antara yang terjejas disebabkan Boon Keh.

Dia dipercayai menukar pelekat bagasi setiap hari sejak November tahun lalu hingga Febuari tahun ini.

Mengulas mengenai perkara itu, jurucakap Lapangan Terbang Changi memberitahu, tiada pencerobohan keselamatan berlaku.

Hampir 59 juta penumpang menggunakan Lapangan Terbang Changi pada 2016.

Lapangan terbang antarabangsa keenam paling sibuk di dunia itu menawarkan penerbangan ke 380 bandar seluruh dunia membabitkan lebih 100 syarikat penerbangan.

Menurut laman web rasmi Changi Group Airport, lapangan terbang itu menguruskan kira-kira 70,000 bagasi setiap hari. - Reuters