Lelaki Ditemui Meninggal Dunia Dalam Tandas Stesen Minyak


SETIU - Seorang lelaki berusia 39 tahun ditemui meninggal dunia dalam tandas sebuah stesen minyak di Merang, di sini kira-kira jam 6.30 pagi semalam.

Kejadian itu disedari salah seorang kakitangan stesen minyak itu setelah mendapati tandas berkunci daripada dalam selain terdapat sebuah motosikal yang diletak di hadapan tandas terbabit.

Difahamkan motosikal itu diletak hampir sejam sebelum disedari kakitangan stesen berkenaan yang kemudian bertindak menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Sebaik dimaklumkan mengenai insiden itu pada jam 6.43 pagi, JPBM melalui Balai Bomba dan Penyelamat Setiu menggerakkan operasi ke lokasi kejadian melibatkan lima anggota bersama sebuah jentera.

Pasukan penyelamat yang tiba kira-kira jam 7.20 pagi mendapati tandas berkunci dari dalam dan terpaksa menggunakan alat pemotong untuk membuka pintu berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, sebaik pintu tandas itu dibuka, pasukan penyelamat mendapati mangsa sudah tidak bernyawa.

“Siasatan awal kita mendapati mangsa tidak mengalami kecederaan dan tiada sebarang unsur jenayah. Kita klasifikasikan kejadian sebagai mati mengejut.

“Mayat mangsa yang beralamat di Batu Rakit, Kuala Nerus itu sudah disahkan identiti dan dihantar ke Hospital Setiu untuk bedah siasat,” katanya.

Sumber: Sinar Harian