Lembaga Zakat Kedah Hulur Bantu Makanan Asas Kepada Mangsa Banjir


ALOR SETAR - Diatas keprihatianan dan tanggangjawab Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), sebuah  Skuad Banjir Zakat ditubuhkan bagi membantu menghulurkan dan mengagihkan bantuan berupa makanan asas.

Bantuan tersebut disalurkan kepada pusat pemindahan banjir di Pertubuhan Peladang Kawasan Lubuk Batu (PPK Lubuk Batu), semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, pihaknya kerjasama dengan pelbagai pihak akan memastikan bekalan makanan bagi menampung jumlah mangsa banjir yang masih ditempatkan di pusat perlindungan itu mencukupi.

Sehingga semalam, dilaporkan sebanyak 391 orang mangsa daripada kawasan setempat yang terjejas banjir masih berlindung disitu.

"Kita telah menyediakan stok makanan dan juga  kenderaan bagi memastikan perjalanan operasi agihan bantuan ini tiba tepat pada masanya.

"Selain bantuan tersebut, sebanyak 1,000 bungkus nasi berlauk juga turut diedarkan kepada semua pusat pemindahan banjir pada sebelah pagi." ujarnya.

Tambahnya, setakat ini jumlah agihan bantuan banjir kini telah mencecah RM250,000 dan akan bertambah nanti.

"Saya menjangkakan agihan kami akan meningkat seiring peningkatan mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan ini.

"Surau dan masjid juga turut menerima bantuan daripada LZNK yang menjadikan tempat perlindungan sementara kepada mangsa-mangsa banjir," katanya.

Sementara itu, Pegawai Zakat Daerah Kubang Pasu, Sofiyuddin Ismail berkata, pihaknya akan memantau perkembangan semasa dan akan membantu mangsa yang terlibat. - Kedahnews.com