Mungkin tiada siapa yang kenal pada lelaki tua ini. Namun di sebalik raut wajah lelaki Tiong Hua ini, tersimpan seribu kisah yang tidak mampu kita bayangkan. Bersabung nyawa demi mendaulatkan sebuah negara, itulah yang menjadi "tangkal azimat"nya...
Namanya Datuk Leong Chee Woh. Beliau adalah seorang pesara polis. Mengetuai Pasukan F yang ditubuhkan pada Mac 1971, pasukan itu terdiri daripada beberapa pegawai dan detektif Cawangan Khas (SB), serta bekas pengganas komunis terpilih.
Misi utama pasukan F ialah bertujuan untuk menangkap hidup-hidup pengganas komunis bagi mendapatkan maklumat risikan terhadap pergerakan mereka yang bermaharajalela ketika itu.
Pada awalnya, tidak sampai 15 orang dipilih dalam pasukan ini.
Namun dalam tempoh 20 tahun perjuangan Leong, Pasukan F yang dipimpinnya telah berjaya melancarkan berpuluh-puluh operasi termasuk Op Kelah, Op Ular, Op Taloong dan Op Paraku, sehinggalah membawa kepada Perjanjian Haadyai 1989.
Paling membanggakan, hasil dedikasi dan kecekapan pasukan kecil yang cuma dianggotai sekitar 164 orang pegawai dan anggota polis itu telah membolehkan sejumlah 48 orang pengganas komunis ditembak mati.
Malah, seramai 171 anggota musuh telah ditangkap di hutan manakala seramai 1,432 orang pengganas lagi diberkas di kawasan dalam dan luar bandar di negara kita.
Bukan calang-calang, itulah kehebatan dan keberanian Leong dan anak-anak buahnya dalam memerangi anasir-anasir subversif yang cuba mengancam keamanan di negara kita sewaktu kita semua tidur lena di atas tilam empuk dibuai mimpi.
Tidak dinafikan bahawa mungkin sebilangan dari rakyat Malaysia menganggap golongan bukan Melayu tidak mempunyai semangat nasionalisme di zaman serba internet ini.
Namun begitu, Leong dan anak-anak buahnya telah berjaya membuktikan bahawa tanggapan itu adalah tidak tepat sama sekali, malah jasa dan pengorbanan mereka menentang komunis wajar membuka mata ramai pihak.
Leong telah menghabiskan masa selama puluhan tahun sepanjang usianya semata-mata untuk menjejak dan menghapuskan kekejaman yang dilakukan oleh musuh-musuh yang menjadi petualang di negara ini.
Lebih penting, beliau meletakkan kepentingan negara sebagai lebih utama berbanding dirinya sendiri.
Hutan belantara menjadi rumah keduanya dan nyawanya sendiri sentiasa berada di hujung tanduk. Tersilap langkah, bila-bila masa saja dia dan anak-anak buahnya boleh dibunuh atau diseksa ekoran dari kerja-kerja risikan serta penyamaran yang mereka lakukan.
"Rahsia" mengenai pasukan ini hanya diketahui masyarakat umum baru-baru ini apabila PDRM akhirnya mendedahkan kewujudan "Pasukan F" sebagai tanda terima kasih dan penghargaan tidak terhingga terhadap pengorbanan yang mereka lakukan.
Selain itu, Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V baru-baru ini berkenan untuk menganugerahkan pingat keberanian kedua tertinggi negara, Pingat Panglima Gagah Berani (PGB) kepada Leong atas sumbangan yang tiada tolok bandingnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga baru-baru ini telah melancarkan sebuah buku "coffee table" yang berjudul "Pasukan F: Hanya Yang Berani" bersempena sambutan Hari Polis Ke-210 dengan kerjasama Kumpulan Utusan.
Terbukti, Leong dan anak-anak buahnya adalah wira yang tidak didendang, namun jasa yang mereka taburkan akan terus tersimpan kemas dalam tinta emas lipatan sejarah sebuah negara yang merdeka bernama Malaysia. Salute! - Kedahnews.com
Sumber asal: Syahril A Kadir