SEORANG daripada tujuh suspek yang membakar asrama Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat sehingga mengorbankan 23 nyawa, terbabit kemalangan ketika menunggang motosikal dan patah tangan kiri pada hari sama.
Sumber berkata, suspek berusia 16 tahun itu terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan untuk membantu ibunya berniaga pasar malam di Bangsar, kira-kira 5 petang, Khamis lalu.
"Pada hari kejadian dia (suspek) masih meneruskan kerja seperti biasa dengan membantu ibunya berniaga di pasar malam.
"Bagaimanapun, sewaktu menunggang motosikal untuk ke pasar malam dia terbabit dalam kemalangan dan patah tangan kiri.
"Selepas menerima rawatan di klinik, polis datang ke kediamannya dan menahan suspek bersama adiknya berusia 15 tahun, kira-kira 2 pagi, Jumaat lalu," katanya ketika ditemui, hari ini.
Jelasnya, dia difahamkan suspek dihantar ke hospital untuk rawatan susulan, hari ini.
"Ibu suspek juga turut menemani anaknya ke hospital diiringi anggota polis," katanya.
Sumber: Metro