Mahathir Akan "Disingkir" Pakatan Harapan Selepas PRU Ke-14?


GABUNGAN pakatan parti pembangkang, Pakatan Harapan kini dikatakan berada dalam keadaan 'serba-salah' dengan perlantikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai pengerusi dalam gagasan itu. 

Terbongkarnya 'skandal kerugian forex' Bank Negara Malaysia semasa prosiding yang dijalankan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) turut memalit imej buruk kepada PH yang dipengerusikan oleh Dr. Mahathir.

Sedangkan pihak pembangkang terutama DAP yang diketuai Lim Kit Siang begitu beriya-iya mahu RCI diwujudkan untuk menyiasat kerugian itu yang berlaku semasa Dr. Mahathir 22 tahun menjadi Perdana Menteri.

Malangnya, Dr. Mahathir mendakwa beliau 'tidak dimaklum' tentang kerugian itu sementara bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin yang juga 'orang kepercayaan' Dr. Mahathir pula mendakwa 'tidak mengetahui' wujudnya urusniaga mata wang asing oleh BNM ketika itu.

Di satu aspek, PH memerlukan pengaruh Dr Mahathir untuk menang Pililhan Raya Umum- Ke-14 setelah dua kali pakatan pembakang yang diketuai DAP  gagal menawan Putrajaya
.
Namun di satu aspek lagi kehadiran Dr. Mahathir mula diragui oleh penyokong reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dr. Mahathir  kini dikatakan mengundang masalah kepada gabungan itu kerana mereka juga terpaksa menerima saranan yang dikehendaki  Pengerusi Parti Pribumi Bersatu  Malaysia (PPBM) walaupun parti itu baharu setahun ditubuhkan.

Memimpin UMNO/ BN tidak sama seperti memimpin DAP dan PKR atau Pakatan Harapan yang masing-masing parti memiliki hala tuju berbeza. Dr. Mahathir mungkin memikirkan semua orang boleh mendengar atau menuruti kehendaknya setelah beliau tidak lagi berkuasa.

Perpecahan PPBM walaupun setahun dibentuk, bukti awal Dr. Mahathir tidak mampu menguruskan partinya sendiri

Pemimpin Pakatan sebelum ini mengakui ada cadangan Dr. Mahathir yang ditolak. Ini membuktikan Dr. Mahathir masih mahu terus 'berkuasa' walaupun berada dalam kem pembangkang sedangkan beliau memusuhi mereka sebelum ini.

Selain Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan UMNO, Dr. Mahathir kini menjadikan pemimpin PAS sebagai  sasaran tembakannya. 

Dr. Mahathir juga berkehendakkan PAS terus bersengketa dengan harapan penyokong parti itu beralih kepada Parti Amanah Negara (PAN) yang didokong oleh DAP.

Ini kerana Dr. Mahathir sedar, walaupun PAS dimusuhinya sejak dahulu dan parti masih berpengaruh dan berkemungkinan menjadi penentu pada PRU14.

Ketua Pemuda PAS Mohamad Khalil Abdul Hadi mendakwa tindakan Dr. Mahathir menyerang PAS bertubi-tubi  adalah untuk melindungi DAP yang kini menerajui PH.

"Dahulu DAP juga menjadi sasaran serangan Mahathir, tapi sekarang tidak lagi,'' kata beliau.

Malah Dr. Mahathir mempertahankan 'kebaikan' DAP kononnya parti itu tidak menetang Islam dan bukan parti perkauman atau rasis.

Kata Khalil, Dr. Mahathir mahu melindungi DAP kerana PH termasuk PPBM dan PAN amat mengharapkan kekuatan DAP untuk membentuk kerajaan baharu jika menang PRU14. 

Sementara itu Timbalan Ketua Pemuda, Khairil Nizam Khiruddin  menyifatkan Dr. Mahathir  kini  ketandusan modal hingga masih terus mengulangi dan 'memuntahkan toksik fitnah' dan jelek untuk memberikan imej buruk kepada PAS.

"Saat berkuasa hingga kini, PAS terus dihentamnya sebagai pemecah belah dan mengkafirkan beliau. Sedangkan beliau sendiri berpecah daripada parti diperjuangkannya dahulu (UMNO) dan kini berserabut pula dalam PH, kata Khairil Nizam yang dipetik daripada Harakahdaily. 

Menurutnya, semua itu hanyalah kerana permusuhan dan bencinya beliau kepada PAS yang menjadi saingan politik beliau yang tidak berjaya ditundukkan di bawah kekuasaannya. 

Permusuhan Dr. Mahathir terhadap PAS menyebabkan beliau begitu mudah diterima oleh DAP kerana mereka mempunyai 'akidah perjuangan' yang sama iaitu menolak hukum Islam dan mencabar segala yang berkaitan dengan kepentingan umat Islam, dakwanya lagi. 

Dalam permainan politik sedang diadu dombakannya kini, rakyat digesa menilai secara bijak dan matang perbezaan antara sumbangan dan jasa beliau dalam membangunkan negara dengan kezaliman serta penyelewengan kleptokrasinya terhadap negara, ujarnya.

"Ketika beliau mahu dijulang kerana vokal menentang Zionis-Israel, jangan lupa 'lumuran darah' mangsa Kampung Memali di tangannya." kata Khairil.

Dalam pada itu, ramai yang melihat sokongan DAP dan PKR kepada Dr. Mahathir hanya satu kepura-puraan. 

Mereka memerlukan Dr. Mahathir untuk memecahkan sokongan UMNO dan orang Melayu apabila tiba pilihanraya.

Namun ramai percaya Dr. Mahathir akan menerima nasib malang seperti PAS. Beliau akan 'disisihkan' selepas PRU14, sama ada PH menang atau sebaliknya, sebagaimana DAP/PKR menyingkirkan  PAS, parti yang turut membantu kedua parti itu menguasai Selangor dan Pulau Pinang pada PRU12 dan PRU13. - Kedahnews.com.