Mahathir Dakwa Tak Dimaklum Kerugian RM30 bilion, Daim Tak Tahu BNM Urusniaga Forex



BEKAS  Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memberitahu beliau tidak dimaklum tentang kerugian RM30 bilion sementara bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin pula menyatakan tidak mengetahui Bank Negara Malaysia (BNM) menjalankan urus niaga tukaran wang asing (forex) sekitar 1990an.

 Dr. Mahathir mendakwa, jumlah kerugian itu tidak dilaporkan oleh bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Clifford Francis Herbert dalam satu perjumpaan di Pejabat Perdana Menteri pada lewat 1993.

“Apa yang saya ingat adalah, angka dalam lingkungan RM5 bilion yang disebut,” kata Dr. Mahathir ketika dipanggil memberi keterangan  sebagai saksi ke-24 dalam prosiding pendengaran di hadapan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kes kerugian akibat urus niaga mata wang asing oleh BNM.

Inilah hari pertama Dr. Mahathir dipanggil untuk memberi keterangan pada suruhanjaya itu di Mahkamah Rayuan 6, Istana Kehakiman di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Dr Mahathir dalam keterangan selanjutnya mendakwa keputusan menubuhkan RCI untuk menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing  semata-mata untuk menerima tekanan kepada mereka.

Dr. Mahathir yang memperkenalkan diri sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) di hadapan panel lima ahli RCI berkata, tujuan mengheret beliau dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya untuk menutup mulut mereka berdua.

“Saya juga mengatakan bahawa tujuan utama kerajaan sekarang ini untuk memajukan ke bawah Duli Yang di-Pertuan Agong untuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ini adalah semata-mata untuk memberi tekanan kepada saya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pengkritik​ Datuk Seri Najib Razak berhubung kritikan kami berkaitan skandal 1MDB serta pemasalahan lain yang dihadapi oleh rakyat dan negara,” katanya.

Dr. Mahathir berkata langkah menubuhkan RCI juga adalah berdasarkan fakta-fakta kronologi yang telah menjadi asas dalam permohonan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk RCI menyiasat 1MDB.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir turut mendakwa Pengerusi RCI, Tan Sri Sidek Hassan Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Bagi Memudahkan Perniagaan (Permudah) Tan Sri Saw Choo Boon tidak sepatutnya berada dalam RCI.

“Pengerusi (Tan Sri Sidek Hassan) dan Tan Sri Saw sudahpun berat sebelah dan tidak neutral dalam siasatan ini kerana sebelumnya telah terlibat dalam Pasukan Siasatan Khas.

“Oleh itu, saya telah failkan permohonan pembatalan kedua-dua ahli panel yang kini berada dalam Mahkamah Rayuan,” katanya seperti yang dipetik dari MalaysiaGazette.

Sementara itu  Daim yang turut dipanggil memberi keterangan di hadapan RCI menjelaskan yang beliau tidak tahu menahu BNM ada menjalankan urus niaga pertukaran mata wang asing ketika bank pusat itu mengalami kerugian berbilion ringgit sekitar tahun 1990-an.

Perkara tersebut bukan sahaja tidak dimaklumkan kepadanya oleh BNM malah beliau sendiri tidak bertanyakannya hal itu daripada pengurusan tertinggi bank pusat itu, kata Daim.

Daim pernah menjadi Menteri Kewangan sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1984-1991 dan 1999-2001 sementara Anwar dilantik Menteri Kewangan 1991-1998. -Kedahnwes.com