Majlis Walimatulurus Perdana Negeri Kedah 2017 Rai 50 Pasangan Pengantin


ALOR SETAR - Enam pasangan bukan Islam diantara 50 pasangan pengantin yang diraikan kerajaan negeri didalam Majlis Walimatulurus Perdana Negeri Kedah 2017 di sini, baru-baru ini.

Kerajaan negeri telah memperuntukkan RM250,000 bagi menjayakan program yang sudah dibuat untuk kali kedua itu, bagi merealisasikan impian golongan muda serta kurang berkemampuan melangsungkan perkahwinan secara gilang-gemilang.

Pasangan mempelai dapat meraikan detik indah mereka hanya dengan membayar RM500, dan semuanya ditaja termasuk busana pengantin, solekan, jurugambar, majlis makan beradap, penginapan dan kursus asas kekeluargaan secara percuma.

Tanpa bersusah payah, pasangan pengantin hanya perlu menyediakan urusan borang nikah, duit mas kahwin serta yuran pendaftaran manakala selebihnya diuruskan oleh jawatankuasa pro­gram tersebut.

Bagi pasangan Yusshafarhan Hakimi Yusof Shah, 24, dan Mas Edayu Shabani, 22, program yang diperkenalkan kerajaan negeri ini membantu memudahkan golo­ngan muda seperti mereka meng­uruskan majlis perkahwinan.

Yusshafarhan Hakimi berkata, mereka berasa gembira ke­rana berpeluang mengadakan majlis perkahwinan secara besar-besaran dengan kos sebanyak RM500 sahaja.

“Saya dan pasangan sudah ber­tunang hampir 10 bulan dan sepatutnya kami merancang untuk berkahwin pada Disember ini.

“Bagaimanapun apabila nam­pak iklan penganjuran Majlis Walimatulurus Perdana ini, saya dan pasangan tertarik untuk serta kerana yuran pendaftarannya murah dan kami dapat berjimat sedangkan perkahwinan diraikan dengan meriah,” katanya yang dipetik dari Utusan Online ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Ayu Fateha Abdul Hamid, 26, mengakui agak keberatan untuk mendaftar sebagai peserta Majlis Walimatulurus Perdana walaupun bapanya bersungguh-sungguh mahu dia dan pasangannya, Mohammad Sufian Mohamad Safri, 26, me­nyertai program berkenaan.

“Kami tahu mengenai program ini pun daripada ayah saya. Dia yang bersungguh-sungguh mahu kami sertai majlis berkahwin ramai-ramai ini.

“Saya pada awalnya kurang berminat kerana berasa malu namun sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan, kami bersetuju. Selain itu, pakej yang ditawarkan sungguh menarik dan pada masa sama, kami tidak perlu mengeluarkan belanja besar untuk majlis perkahwinan ini,” katanya yang me­ngikat tali pertunangan pada Jun lalu.

Program yang diadakan di perkarangan Masjid Zahir itu turut diserikan lagi dengan kehadiran isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang tiba pada kira-kira pukul 3 petang dengan di­iringi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dan isteri, Datin Seri Hizam Awang Ahmad.

Datin Rosmah turut merenjis air mawar dan menepung tawar pasa­ngan mempelai terbabit selepas bergambar bersama kumpulan pe­ngantin dengan berlatar belakangkan Mas­jid Zahir.- Kedahnews.com