Makin Ramai Remaja Ambil Dadah


KAMPUNG RAJA – Penglibatan remaja dan pelajar sekolah dalam kes jenayah termasuk dadah di daerah ini merupakan satu senario yang membimbangkan serta tidak boleh lagi dipandang ringan.

Dalam kes terbaru seramai empat remaja lelaki berusia 14 hingga 19 tahun yang dipercayai aktif mencuri motosikal di sekitar Jertih sejak awal tahun ini berjaya diberkas polis kelmarin.

Empat remaja terbabit ditahan sepasukan polis dari Balai Polis Jertih dalam operasi bermula jam 1 petang kelmarin hingga 2 pagi semalam di beberapa lokasi berasingan bersama enam rangka dan dua motosikal dipercayai dicuri.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis diketuai Ketua Balai Polis Jertih, ASP Kamarul Hamizi Zakaria telah menahan seorang suspek di sebuah bengkel motosikal di Kampung Padang Tapong dekat Jertih jam 1 petang kelmarin.

Menurutnya, polis kemudian merampas sebuah rangka motosikal dipercayai dicuri di sekitar Jertih berdasarkan enam laporan yang dibuat di Balai Polis Jertih sepanjang tahun ini.

“Kebanyakan motosikal yang ditemui jenis Honda Wave dan siasatan awal mendapati mereka mengambil komponen motosikal yang dicuri untuk dijual dan sebahagian lagi digunakan sesama mereka termasuk dipercayai untuk aktiviti rempit.

“Dengan tertangkapnya suspek, polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes curi motosikal di kawasan tersebut dan usaha mengesan suspek curi motosikal sedang giat dilakukan,” katanya.

Mohd Zamri berkata, saringan air kencing terhadap empat suspek yang sudah tidak bersekolah itu didapati hanya suspek berusia 14 tahun didapati positif dadah manakala tiga rakannya negatif.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal," katanya

Sementara itu pada minggu lepas, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)  Besut menahan seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun bersama 22 biji  pil dipercayai dadah jenis pil kuda di Kampung Gong Duek, Hulu Besut.

Ketua Pegawai AADK Besut, Normayati Mat Nawi berkata, bertindak atas maklumat, anggotanya telah menahan remaja berkenaan di sebuah rumah di kampung tersebut dan pemeriksaan lanjut membawa penemuan dadah berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal suspek mendakwa kononnya dadah tersebut milik individu lain yang meminta dia memegangnya.

“Saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah dan dia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut kerana dipercayai memiliki dadah,” katanya.

Normayati berkata, seminggu sebelum tangkapan remaja lelaki itu, pihaknya turut menahan empat remaja perempuan berusia 14 tahun dan saringan awal air kencing mendapati mereka positif dadah.

Menurutnya, pihaknya memandang serius masalah ini kerana ia melibatkan pelajar sekolah dan berharap pihak sekolah sentiasa bekerjasama dengan pihaknya dalam menangani isu ini agar masalah penagihan dadah dapat diatasi daripada peringkat awal lagi.

Sumber: Sinar Harian