SYARIKAT penerbangan nasional, Malaysia Airlines Bhd (MAB) optimis mencatatkan keuntungan menjelang 2018 setelah mengalami kerugian besar sebelum ini hingga menyebabkan ramai stafnya diberhentikan dan perkhidmatan ke destinasi antarabangsa dikurangkan.
Berikutan jangkaan itu, MAB juga berhasrat untuk menyenaraikan semula perniagaannya di bursa saham tempatan pada Mac 2019.
Ketua Pegawai Eksekutif MAB Peter Bellew memberitahu, rancangan penyenaraian semula itu bagaimanapun bergantung kepada keadaan pasaran.
Bellew yang dilantik menerajui syarikat penerbangan itu pada 1 Julai lalu berkata, MAB mempunyai banyak rancangan yang akan dilaksanakan dalam beberapa tahun ini bagi memastikan ia mencapai matlamatnya untuk mengembalikan pulangan modal menjelang 2018.
Katanya, pelan perniagaan syarikat akan kekal sama seperti yang ditetapkan sebelum ini dan pihaknya tidak bercadang untuk mengurangkan lagi jumlah pekerja buat masa ini.
Beliau berkata, hanya sedikit perubahan akan dibuat syarikat penerbangan itu dalam beberapa bulan akan datang membabitkan aspek pemasaran dan jualan.
"Dalam tempoh enam bulan akan datang, kami akan mempertingkatkan usaha jualan dan pemasaran dengan promosi harga tambang secara agresif berbanding sebelum ini.
"Sempena sambutan ulang tahun Boeing ke-100, kami menawarkan tambang yang murah bagi hampir 100,000 tempat duduk pesawat Boeing.
"Kami turut menawarkan jualan murah bagi laluan London yang memperlihatkan tempahan bagi laluan itu meningkat 400 peratus dalam tempoh beberapa hari," katanya pada sidang media selepas memeterai janji niaga dengan Boeing untuk membeli 50 pesawat Boeing 737 MAX di sini, semalam.
.
Mengenai pesawat Airbus 380, Bellew berkata, berdasarkan rancangan, pihaknya akan meneruskan operasi pesawat itu sehingga pertengahan 2018.
Katanya, syarikat penerbangan itu kini menggunakan pesawat berkenaan untuk laluan London dan akan menerima baki pesawat berkenaan tahun depan dan 2018.
Beliau juga menolak kemungkinan untuk memasukkan Amerika Syarikat (AS) ke dalam rancangan laluan syarikat penerbangan itu kerana operasi bagi laluan berkenaan terlalu mahal.
"Amat mahal untuk memajak pesawat dan saya melihat lebih banyak peluang di rantau ini daripada menawarkan penerbangan ke AS," katanya.
Sementara itu bernama melaporkan MAB akan mengimbangi semula jumlah kumpulan pesawatnya dengan memperkenalkan lebih banyak pesawat badan besar dalam tempoh lima tahun akan datang, yang berpotensi membawa hasil tinggi dan mengurangkan kos operasi.
Bellew berkata usaha ini akan memberikan penjimatan kos sebanyak lima hingga 20 peratus kepada syarikat penerbangan nasional itu dan juga keanjalan operasi bagi laluan jarak jauh pada masa depan.
Beliau berkata ketika ini MAB memiliki terlalu banyak pesawat kecil dan sedangkan pesawat badan besar perlu ditambah bagi laluan yang sesuai untuk strategi pada masa hadapan.
"Kami akan terus menyesuaikan diri ketika pasaran semakin bertambah baik dan apabila peluang timbul. (Kami) akan melihat bagaimana keadaannya nanti.
"Kami mahu mengimbangkan jumlah pesawat bagi tempoh lima tahun akan datang hampir kepada 50-50 peratus dan itulah yang biasa dilakukan oleh syarikat penerbangan nasional dengan perkhidmatan premium," katanya. - Kedahnews.com