Malaysia Harus Berani Langkau Pencapaian Lazim - PM


KUALA LUMPUR - Malaysia harus sentiasa meletakkan sasaran pencapaian yang tinggi bagi membolehkan negara terus terkehadapan dan mencipta lebih banyak kisah pembangunan dan kejayaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata dalam usaha kerajaan menjayakan Dasar Digital Malaysia dan mempersiapkan negara menuju era Revolusi Perindustrian Keempat, Malaysia tidak mempunyai pilihan melainkan mesti berani dan meyakinkan diri bahawa negara mampu untuk melonjak lebih jauh daripada biasa.

"Maknanya, pencapaian kita mulai kini seharusnya mampu melangkaui batas-batas pencapaian yang sudah lazim, atau "we must always raise the bar high and continue to keep the bar high for Malaysia".

"Barulah Malaysia kelak, bukan setakat dikenali sebagai 'role model" sebuah negara Islam, akan tetapi secara duniawinya, bakal menjadi rujukan kawan dan lawan sebagai sebuah negara dinamik "High Income Advanced Economy" yang disegani," katanya ketika menggariskan hala tuju negara dalam ucapan sembah tahniah bersempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, di Istana Negara, di sini, hari ini.

Tambahan, Perdana Menteri berkata Malaysia sekarang sudah berjaya diletak pada landasan yang tepat dan benar menuju Transformasi Nasional 2050 (TN50) , sekali gus bermakna negara tidak boleh lagi kekal di takuk lama. - BERNAMA