Malaysia Jumpa Thailand Sekali Lagi Di Final


KUALA LUMPUR - Hasrat untuk melihat skuad bola sepak bawah 19 (B-19) negara menjuarai Kejohanan Bola Sepak Bawah 18 (B-18) buat kali pertama semakin hampir apabila anak-anak buah Bojan Hodak layak ke pentas akhir setelah menundukkan Myanmar 5-4 hasil penentuan penalti di Stadium Thuwunna, Yangon semalam.

Penentuan penalti terpaksa dilakukan selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam masa penuh perlawanan.

Menanti Malaysia di final adalah Thailand yang sudah pun mengesahkan tiket mereka setelah menundukkan Indonesia 3-2 juga dalam penentuan penalti. Thailand dan Indonesia terikat tanpa jaringan dalam masa penuh permainan. Final diadakan di Stadium Thuwunna, Yangon pada Ahad ini.

Indonesia menentang Myanmar bagi penentuan tempat ketiga.

Itu bermakna dalam tempoh sebulan Malaysia sekali lagi bertemu Thailand di pentas akhir namun dalam kejohanan berbeza. Sebelum ini Malaysia tumpas 1-0 kepada Thailand dalam aksi akhir Sukan SEA 2017 pada bulan lalu.

Pujian wajar diberikan kepada penjaga gol negara, Azri Ab Ghani apabila berjaya menyelamatkan dua tendangan penalti sekali gus membantu pasukan menempah tiket ke final.

Mengulas mengenai pertemuan final, Hodak berkata dia tidak mempunyai masalah untuk menghadapi Thailand kerana kedua-dua pasukan itu pernah bertemu di peringkat kumpulan dengan keputusan terikat 1-1.

“Kami sudah mengenali lawan kami dengan baik, kami seri di peringkat kumpulan jadi saya perlu melihat siapa yang cergas untuk diturunkan dalam aksi final nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik skuad B-19 di pentas kejohanan tersebut adalah pada tahun 2003, 2005,2006 dan 2007 apabila berjaya meraih tempat kedua.

Pada 2009 skuad B-19 menamatkan saingan di tempat keempat dalam aksi yang berlangsung di Vietnam dan berada di kedudukan ketiga pada tahun 2011.

Dua tahun lalu, pasukan muda tewas pada saingan separuh akhir di tempat keempat.

Sumber: Utusan Online