Malaysia Perlu Bertegas Dengan Myanmar


SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia didesak supaya memberikan tekanan kepada Myanmar dengan memutuskan sebarang hubungan dagang serta mengusulkan supaya negara itu dilucutkan dari keanggotaan Asean.

Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, atas semangat persaudaraan Islam serta kemanusiaan, Malaysia perlu bertindak berani dengan memulakan ketegasan terhadap Myanmar berikutan daripada tindakan kejam mereka terhadap etnik Rohingya tersebut.

“Selaku negara yang pernah mengetuai agenda keamanan dalam Sidang Kemuncak Asean serta komited mengekang radikalisme, Kuala Lumpur dituntut memanggil pulang Duta Besar Malaysia dari negara itu.

“Negara juga perlu serta merta mengadakan pengisytiharan mengusir keluar Duta Myanmar dari negara ini,”katanya dalam satu kenyataan.

Konflik yang melanda etnik Rohingya di wilayah Rakhine, Myanmar bertambah kritikal sejak kebelakangan ini apabila dilaporkan lebih 400 buah rumah dibakar, wanita dirogol, kanak-kanak dan warga emas turut dibunuh dan diseksa.

Sehubungan itu, Muhammad Khalil memaklumkan bahawa usaha awal itu boleh dilakukan bersama Indonesia, Turki, Pakistan, Bangladesh dan beberapa negara lain.

“Kami percaya, kewujudannya kelak dapat mengimbangi pelbagai tekanan lain yang dihadapkan terhadap Islam khususnya oleh kuasa-kuasa besar lain atas pertembungan dan kepentingan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Khalil berkata, Myanmar kini setanding Israel dan Serbia yang muncul sebagai ‘kerajaan ekstremis’ di mana menuntut tamadun manusia segera mengambil tindakan tegas terhadap kebinatangan dan kebuasan dilakukan.

Beliau berkata, nyawa etnik Rohingya yang terbunuh oleh kekejaman rejim Myanmar seakan-akan dibutakan dari penglihatan dunia sehingga menyebabkan kerajaan negara itu semakin angkuh dan bertindak sewenang-wenangnya dalam melakukan penghapusan etnik.

“Ketidakpedulian itu hanyalah kerana etnik Rohingya mengaku tuhan mereka adalah ALLAH dan Islam sebagai pegangan hidup,” katanya.

Tambah beliau, Pemuda Pas kini sedang mengatur usaha bagi memanggil sayap pemuda dari Gerakan Islam seluruh dunia untuk mengadakan satu sidang meja bulat untuk membincang isu kritikal ini dengan segera.

“Seterusnya semua resolusi (sidang meja bulat) itu akan dilaksanakan bagi melobi segala tindakan untuk menangani keganasan Myanmar dari terus merebak.

Sumber: Sinar Harian