Mangsa Banjir Di Kedah Terus Meningkat, Cecah 2,873 Mangsa


ALOR SETAR - Jumlah mangsa banjir kilat di Kedah pagi ini terus meningkat kepada 2,873 orang berbanding 2,280 orang malam tadi.

Menurut kenyataan Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), jumlah itu meningkat berikutan air naik di beberapa bahagian kawasan pedalaman di daerah Pokok Sena, Kuala Muda, Kota Setar, Kubang Pasu dan Pendang.

Mereka terpaksa dipindahkan berikutan jumlah aliran air yang banyak dari hulu ke muara sungai tidak dapat ditampung oleh sistem saliran yang ada dan diburukkan lagi dengan sistem perparitan yang tersumbat dan cetek menyebabkan kawasan yang rendah dinaiki.

Kesemua mereka ditempatkan di 21 pusat pemindahan berbanding 17 pusat yang dibuka sebelum ini dan daripada jumah itu, 14 dibuka di daerah Kota Setar dan Kubang Pasu.

Antaranya ialah Pusat Pemindahan (PP) Sekolah Kebangsaan Titi Gajah, Alor Setar membabitkan 228 orang mangsa, PP Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Seberang Perak (13), PP Dewan Wawasan Kampung Kelompang (30), PP Surau Assyakirin, Kepala Batas (75), PP SK Alor Mengkudu (101), PP SK Bukit Pinang (25), PP Dewan Taman Sri Bagan (94), dan PP SK Seri Gunung (92).

Selain itu, mangsa banjir berkenaan juga ditempatkan di PP SK Kodiang Lama (49), PP Dewan Kampung Lahar (112), PP SMK Mahawangsa (496), PP Dewan Tokong Cina (145), Dewan Kubur Siam (303), dan PP Dewan Lubuk Batu (105) di daerah Kubang Pasu.

Pusat pemindahan lain yang masih beroperasi ialah di Pokok Sena membabitkan PP SK Bukit Hijau yang membabitkan jumlah mangsa teramai iaitu 400 orang, Madrasah Maahd Tarbiyah (113), Dewan Kampung Permatang Limau (35) , Surau Kampung Menerong (18) dan Dewan Lubuk Keriang seramai 66 orang mangsa.

Lebih 100 mangsa banjir kilat ini juga ditempatkan di PP Dewan Kampung Sungai Pial di Kuala Muda dan 260 mangsa di PP Dewan Rakan Sukan Tanah Merah di daerah Pendang.- BERNAMA