Mangsa Banjir Di Langkawi Dah Pulang


PUSAT pemindahan banjir Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Kedawang dan Dewan Orang Ramai Kampung Raja di Padang Matsirat, Langkawi ditutup pada jam 8 pagi, hari ini.

Pegawai Daerah Langkawi selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir Daerah Langkawi (JBBDL), Isahak Murat berkata, semua 164 penduduk membabitkan 40 keluarga dari sembilan kampung dibenarkan pulang.

Katanya, kedua-dua dewan terbabit dijadikan pusat pemindahan di pulau ini sejak dua hari lalu susulan hujan lebat dan paras air meningkat melebihi paras bahaya.

"Alhamdulillah keadaan sudah pulih apabila paras air di Sungai Padang Matsirat mencatatkan 2.90 meter, lebih rendah dari paras bahaya iaitu 3.40 meter.

"Oleh itu, JBBDL memutuskan kedua-dua pusat pemindahan ditutup mulai jam 8 pagi hari ini dan semua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing," katanya ketika dihubungi di sini.

Isahak berkata, bagaimanapun JBBDL dan pasukan keselamatan masih dalam keadaan bersiap-siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana berulang.

Sumber: MyMetro