Mangsa Banjir Meningkat, Dua Lagi Daerah Terjejas


ALOR SETAR - Jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 1,781 mangsa, berbanding 669 mangsa, semalam.

Manakala daerah terjejas juga bertambah, daripada tiga (Kuala Muda, Kota Setar, Kubang Pasu) kepada lima daerah, terkini melibatkan daerah Pendang dan Pokok Sena.

Penyelaras Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, setakat 6 petang, 470 keluarga dari lima daerah ini dipindahkan ke 13 pusat pemindahan, berbanding lima semalam,  selepas kediaman mereka dinaiki air,” katanya.

Menurutnya, hanya satu pusat pemindahan  di daerah Kuala Muda masih dibuka, iaitu di

Dewan Kampung Sungai Pial menempatkan 112 mangsa dari 25 keluarga.

"Pusat Pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kechil dan Dewan Kampung Jilid 8 telah ditutup petang tadi," katanya.

Saifuddin berkata, bagi daerah Kota Setar, empat lagi pusat pemindahan baharu dibuka, iaitu SK Titi Gajah (105 mangsa dari 27 keluarga), JKM Seberang Perak (6 mangsa dari sebuah keluarga), Surau Assyakirin Bukit Pinang (62 mangsa dari18 keluarga), SK Alor Mengkudu (104 mangsa dari 19 keluarga).

"Pusat Pemindahan Dewan Kampung Balai, Kuala Kedah sudah ditutup jam 5 petang tadi," katanya.

Manakala di daerah Kubang Pasu, dua pusat pemindahan telah ditutup, iaitu di Surau Kampung Kubang Betong  dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changloon.

Saifuddin berkata, empat pusat pemindahan dibuka di daerah itu; SK Kodiang Lama (56 mangsa dari12 keluarga), Dewan Kampung Lahar (93 mangsa dari 21 keluarga), SMK Mahawangsa (446 mangsa dari 119 keluarga), Dewan Tokong Cina (419 mangsa dari 130 keluarga).

"Sebuah pusat pemindahan dibuka di

Pendang, iaitu di Dewan Cenderawasih menempatkan 89 mangsa dari 26 keluarga," katanya.

Menurutnya, tiga pusat pemindahan di Pokok Sena adalah di SK Bukit Hijau dengan jumlah mangsa seramai 255 orang dari 64 keluarga.

"Dua lagi adalah Madrasah Maahad Tarbiyah, Derang dengan sembilan mangsa dari sebuah keluarga, Dewan Kampung Permatang Limau (25 mangsa dari tujuh keluarga), katanya.

Sejak empat hari lalu, hujan lebat dan berterusan selain fenomena air pasang besar yang melanda Kedah, menyebabkan beberapa lokasi sekitar negeri dilanda banjir kilat.

Sumber: Sinar Harian