KEADAAN pelik dapat dilihat apabila permukaan kulit Bibi berkilat seperti kulit anak patung plastik.
IBU muda itu dilihat berhati-hati menyapu krim pelembap pada kulit bayi perempuannya yang sedang tidur lena.
Sesekali, bayi yang berasal dari Birmingham, England itu kelihatan merengek kecil mungkin kerana tidurnya diganggu. Dengan perlahan-lahan, ibu muda itu membalut tubuh anaknya dengan selimut nipis sambil mengusap lembut kepalanya.
Begitulah rutin yang harus dilakukan oleh ibu tersebut terhadap anaknya yang perlu disapu krim pelembap sebanyak 10 kali sehari supaya kulit bayi itu tidak menjadi bertambah buruk gara-gara penyakit yang dihidapinya.
Bayi itu, Maryam Bibi yang berumur lapan bulan disahkan menghidap sejenis penyakit kulit dikenali sebagai ichthyosis iaitu keadaan yang menyebabkan kulit menjadi terlalu kering dan menggelupas.
Keadaan yang dialami oleh Maryam adalah disebabkan kulitnya tumbuh 10 kali lebih cepat daripada bayi normal lain hingga dia digelar sebagai ‘bayi ular’.
Ibunya, Maira Bibi, 21, dan bapanya, Azmat Khan, 25, setiap hari akan menghabiskan masa selama empat jam untuk menyapu krim pelembap pada kulit anaknya itu supaya tidak menjadi terlalu kering dan merekah.
“Kerana kulitnya begitu sensitif, pakaiannya juga perlu dibasuh berasingan supaya tidak bercampur dengan baju kotor lain,” tutur ibunya.
Sisik ikan
Maira mengakui, pada awalnya dia sukar untuk menerima hakikat bahawa anaknya dilahirkan dengan keadaan penyakit kulit yang begitu teruk.
Menurut suri rumah itu, dia tidak menganggap anaknya sama seperti ular, sebaliknya mendapati Maryam tidak ubah seperti seekor ikan duyung yang cantik dengan kulit lembut walaupun tidak sempurna seperti bayi lain.
“Walaupun dia (Maryam) kelihatan berbeza, saya sangat menyayanginya dan tidak dapat membayangkan bagaimana dia akan melalui alam dewasa nanti,” kata Maira.
Wanita itu memberitahu, keadaan kulit anaknya tidak ubah seperti sisik ikan dan akan berubah warna menjadi gelap apabila kering dan mudah tertanggal seperti seekor ular bersalin kulit.
Setiap pagi, Maryam akan dimandikan selama setengah jam menggunakan beberapa jenis sabun berbeza bagi membantu kulit mati pada seluruh tubuhnya tertanggal dengan mudah dan tidak menyakitkan.
Keadaan kulit bayi itu juga semakin hari menjadi semakin nipis, namun ia akan tumbuh dengan cepat sebelum tertanggal selepas beberapa hari.
Berkilat
Mengimbas kembali ketika anaknya dilahirkan, Maira memberitahu, dia mendapati, terdapat kelainan pada kulit Maryam, namun menganggap ia suatu perkara normal bagi seseorang bayi yang baru dilahirkan.
Namun, selepas beberapa minggu, Maira mendapati keadaan kulit anaknya tidak kelihatan seperti bayi normal lain apabila permukaan kulitnya kemerahan dan berkilat seperti anak patung plastik.
Doktor yang turut sedar akan kelainan pada keadaan kulit bayi itu telah membuat pemeriksaan sebelum mengesahkan bahawa bayi itu menghidap ichthyosis.
Menurut doktor, ichthyosis merupakan sejenis penyakit kulit yang disebabkan oleh faktor genetik apabila sel kulit pesakit dijangkiti kuman, menyebabkan lapisan kulit mati gagal dibuang.
Selain menyebabkan kulit menjadi kering dan tertanggal, ichthyosis juga memberi kesan pada pergerakan anggota apabila kulit yang kering itu akan mengeras dan menyebabkan bayi berasa tidak selesa.
Sumber: Kosmo