Masalah Pakatan Meruncing, DAP Terus Bangkit Isu Kerjasama PKR-PAS


ISU Parti Keadilan Rakyat (PKR) berunding dengan PAS menerusi 'pintu belakang' sepatutnya sudah tamat apabila Majlis Presiden Pakatan Harapan memutuskan dengan tegas bahawa gabungan itu tidak akan bekerjasama dengan PAS dalam PRU 14.

Namun apabila Penasihat DAP Lim Kit Siang terus membangkitkannya, ia menggambarkan ada sesuatu yang tidak kena dalam Pakatan Harapan.

Kenyataan Kit Siang mahu Pakatan Harapan menerima kenyataan yang mereka terpaksa bertembung tiga penjuru dengan PAS dan BN dalam PRU14 menunjukkan pakatan pembangkang  sedang berdepan dengan masalah.

Pengarah Institut Kajian Politik Malaysian (Mapan), Universiti Utara Malaysia, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, jika tiada masalah, sudah tentu isu rundingan kerjasama dengan PAS tidak lagi perlu diperkatakan sesudah Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan memutuskankanya.

Bila isu ini masih dibicarakan, ia menunjukkan masih ada pemimpin Pakatan Harapan yang mempunyai hasrat untuk berunding dengan PAS, kata Dr Kamarul Zaman yang merujuk  kenyataan Kit Siang baru-baru ini.

 Kit siang yang juga bekas Setiausaha Agung DAP sebelum ini berkata Pakatan Harapan perlu menerima hakikat bakal berdepan pertandingan tiga penjuru dan kini perlu fokus untuk menghadapi pada PRU14 yang masanya semakin suntuk.

Kit siang juga mendakwa PAS kini tidak berminat lagi untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional seballiknya cenderung untuk mengadakan kerjasama dengan UMNO. 

“Bila keputusan sudah dibuat, maka sepatutnya isu ini sudah tidak dibangkitkan lagi dan sesiapa yang melanggar keputusan ini perlu dikenakan tindakan disiplin barulah Pakatan Harapan akan dihormati," kata Dr Kamarul Zaman.

Bagaimanapun, kata beliau bila isu ini terus diperkatakan dan sokongan terus diberikan kepada usaha untuk berunding dengan PAS tanpa ada tindakan disiplin kepada pihak yang terbabit maka Majlis Presiden Pakatan Harapan seolah-olah tiada wibawa dan boleh diperkotak-katikkan.

Ramai yang melihat tindakan DAP mengungkit kerjasama dengan PAS seolah-olah gabungan pembangkang belum bersedia untuk menghadapi PRU14 jika diadakan dalam waktu terdekat.

Perebutan kerusi antara parti dalam gabungan itu, merupakan antara petunjuk awal Pakatan Harapan tidak punyai harapan lagi untuk menerajui Putrajaya dalam cubaannya kali yang ketiga ini. - Kedahnews.com.