SUAMI isteri peniaga gerai makanan di Kampung Pauh, Sanglang, Kangar tidak kisah menjual makanan pada harga serendah RM2, semata-mata ingin membantu penduduk menikmati makanan pada harga murah.
Niat murni Razali Darus, 39, dan Siti Khazanah Abdul Rahman, 34,yang mula berniaga sejak Mac lalu kini mendapat 'barakah' apabila gerai mereka dinamakan Warong 2 Ringgit D' Pokok Asam kini tidak putus dikunjungi pelanggan.
"Sejak mula berniaga tujuh bulan lalu saya dah berniat meletakkan harga RM2 untuk menu utama iaitu nasi ayam dan laksa serta air batu campur (ABC).
"Mula-mula memang cadangan itu dikritik keluarga dan rakan memandangkan harga bahan mentah sentiasa meningkat setiap hari.
"Namun, kini saya bersyukur niat kami untuk membantu di samping mendapat sedikit keuntungan," katanya ditemui di gerai mereka kelmarin.
Razali berkata, biarpun dibantah keluarga dan rakan dia nekad meneruskan cadangan harga RM2 itu.
"Konsep kami ingin membantu pelanggan daripada pelbagai latar belakang seperti murid dan pelajar sekolah serta penduduk setempat.
"Kami pernah cuba menjual menu sampingan lain dengan harga yang sama seperti bihun sup thai, dan beberapa menu lain bagaimanapun setakat ini belum dapat menyediakannya memandangkan kos bahan asas menu yang tinggi dan sukar diperolehi," katanya.
Selain keunikan gerainya yang menyediakan menu utama dengan harga rendah, Razali berkata, resepi kuah laksa disediakan isterinya antara tarikan buat pengunjung.
"Apa yang menjadi perhatian di gerai saya ialah kuah laksa yang disediakan isteri adakan keunikan tersendiri.
"Dia tidak menggunakan belacan untuk kuah laksa dan menggantikannya dengan penggunaan ikan puput yang rasanya begitu sedap memandangkan ada orang yang mempunyai alahan dengan isi kandungan belacan.
"Malah, ada pelanggan kami yang sering ke sini hanya untuk menikmati laksa kerana mereka ada alahan yang teruk terhadap udang dan sering mengadu gatal di muka jika memakannya," katanya sambil memberitahu gerainya dibuka setiap hari kecuali Jumaat.
Sumber: MyMetro