Maut Langgar Penghadang Jalan


ISKANDAR PUTERI- Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya terbabas dan merempuh besi penghadang jalan di tepi Plaza Tol Lima Kedai, Link Kedua, dekat sini, malam tadi.

Chong Yue Sheng, 26, dalam perjalanan dari arah Gelang Patah menghala ke Senai di sini, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan badan.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri, Hairul Azwii Esrah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 9.58 malam tadi.

"Sebaik tiba pada jam 10.10 malam, enam anggota mengambil masa 25 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduknya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad, berkata kemalangan dipercayai berlaku akibat kecuaian pemandu yang gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas lalu berpusing melanggar besi penghadang jalan dalam kawasan tol.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulai untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sumber: BH Online